SHAH ALAM – Jabatan Kastam DiRaja Malaysia optimis untuk mencapai pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) agensi itu menjelang tahun ini dalam kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata, kutipan cukai itu pada tahun ini dijangka melebihi kutipan pada tahun lepas, sekali gus melepasi sasaran yang ditetapkan kerajaan.
“Kutipan GST kita pada tahun lepas hanya RM41,2 bilion berbanding sasaran yang ditetap pada kadar RM42 bilion.
“Bagaimanapun kutipan pada tahun ini bakal melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu lebih daripada RM42 bilion,” katanya pada sidang media dalam Persidangan Pengarah-Pengarah Kastam Seluruh Malaysia di Grand Bluewave Hotel, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Pengarah Kastam dan GST, Datuk Zulkifli Yahya menyatakan cukai GST yang diperoleh kerajaan pada 2016 sebanyak RM41.2 bilion melebihi sasaran awal iaitu RM38.5 bilion.
Subromaniam juga berkata, bagi mencapai sasaran tersebut, sebanyak RM1 bilion kutipan tambahan bakal diperolehi pihaknya menjelang akhir tahun ini melalui usahanya menempatkan pegawainya sebagai duta GST dalam industri.
“Kami akan menempatkan pegawai-pegawai kastam yang bertindak sebagai duta atau wakil GST dalam persatuan-persatuan perniagaan dan dewan perniagaan bermula 15 Oktober 2017.
“Langkah ini bagi memastikan pegawai-pegawai GST dapat membantu peniaga-peniaga dalam urusan GST yang betul khususnya dalam membuat pengikraran pada penyata GST-03,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.