KUALA LUMPUR – Golongan muda diseru supaya cakna politik sebagai langkah untuk mereka menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU15).
Ini kerana, ia bagi membolehkan peratusan keluar mengundi pada pilihan raya tersebut dapat ditingkatkan, kata Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan.
“Kita tidak mahu peratusan keluar mengundi rendah sekitar 50 hingga 60 peratus terjadi lagi sewaktu kita mahu memilih kerajaan untuk penggal seterusnya.
“Pasca PRU-14 yang menunjukkan kecelaruan politik hingga tiga perdana menteri dilantik dalam satu penggal adalah sesuatu yang memalukan.
“Rakyat dan anak muda mungkin berasakan bahawa mereka perlu menjauhi sistem politik yang sedia ada atau tak ambil peduli dengan keadaan politik hari ini. Namun, jangan sia-siakan undi kalian kerana setiap undi adalah hak untuk memilih pemimpin dan kerajaan lebih baik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Shahir, meskipun tidak dinafikan sebahagian pengundi umur 18 adalah automatik untuk menunaikan tanggungjawabnya, tetapi sebahagian besarnya tidak mengundi dan itu telah mempengaruhi peratusan keluar mengundi keseluruhan di PRN Johor.
Ujarnya, anak muda bukan sahaja perlu bersikap lantang dan analitikal di media sosial, namun perlu mendalami isu politik semasa dan menunaikan tanggungjawab mengundi agar negara tidak dipimpin oleh golongan yang rakus kuasa.
Tambah beliau, kepimpinan negara perlulah diterajui oleh mereka yang terbaik untuk mengemudi negara kembali menjadi Harimau Asia.
Dalam pada itu Shahir berkata, PRN Johor menyaksikan peratusan keluar mengundi terendah iaitu 54.92 peratus berbanding kebanyakan Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan sejak 2018, termasuklah di Sabah, Sarawak dan Melaka.
Katanya, peratusan yang rendah itu dipengaruhi oleh pengundian yang rendah di kalangan golongan Undi 18 (18 hingga 20 tahun) dan pengundi automatik.
“Harus diingat, walaupun Undi 18 dan pendaftaran undi automatik dilaksanakan di PRN Johor membabitkan seramai 700,000 pengundi baru…ianya termasuklah mereka yang sudah berusia, namun tidak pernah mendaftar,” katanya. – MalaysiaGazette