SERDANG – “Sudah jatuh ditimpa tangga,” itu luahan Octovia Tiong Saiw Fang, 28, setelah penyakit yang dialami membawa kesan terhadap kesihatan mentalnya.
Menurut graduan Orang Kurang Upaya (OKU) yang menghidap penyakit sawan atau epilepsi itu, beliau berasa kesal apabila pernah dituduh cuba membunuh diri semasa penyakit itu menyerang.
Mengulas lanjut, graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Alam Sekitar itu berkata, tuduhan tersebut berpunca ketika beliau memegang pisau semasa sedang menjalankan kajian sebelum diserang sawan.
“Keadaan masa itu seolah-olah saya cuba menyerang diri saya sendiri dan ada yang ambil video sehingga tular di media sosial kononnya saya cuba nak bunuh diri,” katanya.
Insiden itu dikongsikannya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui selepas Sidang Kedua Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) kali ke-45, di sini, hari ini.
Tambah graduan berasal dari Bintulu, Sarawak itu, beliau mengalami tekanan perasaan yang sangat teruk akibat tuduhan berkenaan.
“Mujur ketika itu ibu saya hadir, terangkan dekat semua orang yang ada di situ yang saya ada epilepsi. Bukan bunuh diri, tapi diserang penyakit,” ujarnya yang pada ketika itu sedang menjalani latihan praktikum di salah sebuah zoo.
Bagaimanapun, Octovia bersyukur kerana ramai kenalannya serta segelintir masyarakat masih cuba untuk memahami golongan itu, malah terus memberikan sokongan sehingga beliau mampu beroleh kejayaan pada hari ini.
Justeru, beliau berharap agar masyarakat tidak membuat tuduhan sebarangan kepada penghidap epilepsi kerana ada kala penyakit tersebut boleh menyerang di luar kawalan hingga mencetuskan salah faham. – MalaysiaGazette