KUALA TERENGGANU – Aktiviti solat Jumaat dan solat fardu secara berjemaah di masjid dan surau di Terengganu dibenarkan dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal dengan dirapatkan saf, susulan negara bakal memasuki fasa peralihan ke endemik bermula 1 April ini.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, kanak-kanak berumur tujuh tahun dan ke atas turut dibenarkan hadir ke masjid dan surau, dengan syarat kehadiran bersama ibu bapa.
“Jawatankuasa masjid dan surau digalakkan menetapkan satu kawalan khas bersesuaian bagi kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shaikh Harun berkata, semua aktiviti harian pengajaran agama seperti kuliah Maghrib, kuliah Dhuha, tadarus al-Quran, kuliah muslimah dan lain-lain aktiviti di masjid serta surau turut dibenarkan dengan kehadiran jemaah berkapasiti biasa.
Namun, beliau berkata kuliah atau ceramah agama perdana di masjid dan surau dengan kehadiran jemaah dalam kapasiti besar perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).
“Selain itu, aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong dan jamuan makan selepas aktiviti pengajaran agama dan kemasyarakatan adalah dibenarkan,” katanya.
Katanya, fasa peralihan ke endemik turut menyaksikan majlis akad nikah di masjid, surau dan premis persendirian dibenarkan tanpa had kapasiti.
Dalam pada itu, Shaikh Harun berkata, semua masjid dan surau di negeri ini dibenarkan melaksanakan aktiviti keagamaan sepanjang bulan Ramadan, termasuk solat Tarawih, majlis berbuka puasa, moreh, bacaan al-Quran secara berjemaah dan qiamullail manakala solat sunat Aidilfitri dibenarkan tanpa penjarakan fizikal dengan dirapatkan saf.
“Kehadiran jemaah bagi aktiviti bulan Ramadan dan solat sunat Hari Raya di masjid dan surau dibenarkan kepada jemaah lelaki dan perempuan termasuk kanak-kanak berumur tujuh tahun dan ke atas,” katanya.
Katanya, umat Islam di negeri ini turut dibenarkan menziarahi tanah perkuburan dan solat jenazah boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal dengan dirapatkan saf.
Bagaimanapun, katanya semua pelaksanaan aktiviti di masjid dan surau perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19 termasuk jemaah diwajibkan memakai pelitup muka, mendaftarkan kehadiran melalui aplikasi MySejahtera atau ditulis dalam buku disediakan pihak jawatankuasa.
Jemaah yang bergejala seperti demam, batuk dan selsema tidak dibenarkan hadir ke masjid atau surau, katanya. – Bernama