KUALA LUMPUR – Yayasan Bank Rakyat (YBR) memperuntukan kira-kira RM80,000 untuk membantu penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Bantuan Awal Pengajian.
Seramai 80 penuntut telah dikenal pasti dalam golongan memerlukan telah menerima bantuan itu bagi membolehkan mereka memulakan pengajian hari ini.
Ahli Lembaga Pengarah YBR, Datuk Dr. Abdul Rahman Bakri yang mewakili Pengerusi YBR, Datuk Megat Zulkarnain Omardin telah menyampaikan sumbantuan itu pada majlis Penyerahan Bantuan Awal Pengajian Yayasan Bank Rakyat di Kota Kinabalu.
Beliau berharap, lebih banyak agensi atau badan bukan kerajaan (NGO) tampil membantu mereka yang memerlukan khususnya masyarakat luar bandar.
Bantuan itu diserahkan kepada Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin sambil disaksikan Lembaga Pengarah UMS, Datin Nurlaila Said.
Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Jefferey Nor Mohamed; Ketua Bahagian Operasi Menanggung Tugas Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Peruntukan itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial YBR untuk meringankan beban keluarga berpendapatan rendah, yang mana anak mereka menerima tawaran kemasukan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda bagi semester baru.
Setiap penuntut itu akan menerima bantuan sebanyak RM1,000 bagi membuat persediaan kemasukan sesi pengajian yang baru sahaja bermula.
Kata Dr. Abdul Rahman lagi, sumbangan itu adalah misi membantu pelajar dari keluarga kurang bermampuan yang tinggal di luar bandar, pedalaman dan miskin bandar.
“Kita mahu mereka dapat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan nisiatif ini diharap dapat meringan beban ibu bapa yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
“Program ini juga dapat mengurangkan bebanan kewangan ibu bapa dan penuntut IPT sebelum mereka menerima bantuan atau dana lain bagi meneruskan pengajian.
“Kita mengalu-alukan bantuan seperti ini kerana sekurang-kurangnya penuntut kurang berkemampuan mendapat perhatian dan memberikan rasa keterujaan untuk mereka membuat persiapan memasuki pengajian,” katanya.
Beliau berkata, bantuan itu berobjektifkan membantu pelajar dari keluarga kurang bermampuan terutama di kalangan B40 dalam memberi peluang kepada mereka melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Bantuan permulaan itu, katanya, dapat melahirkan penuntut yang komited, berkualiti, mampan, bercirikan keusahawanan serta mampu berdaya saing di semua peringkat.
“Sehingga kini, seramai 3,277 pelajar telah menerima manfaat melalui bantuan awal pengajian YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.2 juta sejak tahun 2017 dan bagi tahun 2022, sejumlah RM1 juta diperuntukan,” katanya. – MalaysiaGazette