PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai penyediaan protokol bagi individu yang dijangkiti Covid-19 untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, protokol yang selamat perlu disediakan supaya hak semua rakyat, termasuk individu yang positif Covid-19, untuk mengundi tidak dinafikan.
“Saya telah minta pegawai kementerian saya untuk bincang dengan SPR apakah protokol yang paling selamat untuk membolehkan mereka yang positif Covid-19 mengundi.
“Sebab kita kena terima Covid kekal selama-lamanya sekiranya kita menafikan hak pengundi untuk mengundi, mungkin di Johor boleh difahami sebab kita belum siapkan protokol yang selamat.
“Tapi saya kata dengan pegawai saya bahawa Covid-19 akan sentiasa ada, kalau kita menafikan hak yang positif untuk mengundi kita menafikan hak berperlembagaan,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika ditemui selepas pelancaran Laporan Tahunan Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM) 2021 dan Laporan Projek Realisasi Fasa 1 (P1RP), di sini, hari ini.
Tambah beliau, antara yang akan dibincangkan adalah mengenai cara untuk pesakit Covid-19 mengundi dengan selamat tanpa mengakibatkan penularan virus.
“Jadi kita sedang memikirkan jalan yang paling selamat untuk yang positif mengundi, seperti di mana, ada yang kata bagi mereka undi pos tapi katalah dijangkiti sehari atau dua hari sebelum hari mengundi?
“Kalau nak pergi pun siapa nak ambil mereka, saluran mana, adakah kita sediakan saluran khusus untuk pesakit Covid-19,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Khairy memberitahu, proses penyediaan protokol itu akan mengambil masa demi memastikan kesihatan awam tidak terabai.
Berikutan itu, katanya, ia memerlukan masa untuk menentukan protokol tersebut.
“Bukan saya kata kita lambatkan PRU, political consideration juga perlu saya sebagai ahli UMNO faham itu tapi kita juga ada dalam kerajaan jadi kena fikir tentang itu.
“Perkara paling penting bukan tentang kehendak politik sahaja tetapi tentang keselamatan,” ujarnya sambil menambah masa yang paling sesuai untuk mengadakan pilihan raya adalah dalam keadaan risiko paling rendah berlakunya penularan Covid-19. -MalaysiaGazette