Home Utama Kanak-kanak 11 tahun maut dicekik kerana duit RM4

Kanak-kanak 11 tahun maut dicekik kerana duit RM4

Wan Mohd Zahari Wan Busu Kuantan asnaf orphanage strangled to death
Wan Mohd Zahari Wan Busu

KUANTAN – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut disyaki akibat dicekik oleh pelajar senior di sebuah rumah anak asnaf dan anak yatim di di sini dalam kejadian petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek dilaporkan bertindak sedemkian selepas tidak berpuas hati dan mengesyaki mangsa telah mencuri duitnya sebanyak RM4.

Katanya, suspek dilaporkan telah  mencekik, menyepak, dan menghempas mangsa ke atas lantai sehingga tidak sedarkan diri.

Suspek berusia 16 tahun dikatakan telah menegur mangsa berhubung duit sebanyak RM4 yang dikatakan diambil oleh mangsa ketika mereka melakukan aktiviti gotong-royong membersihkan surau.

Namun, menurut Wan Mohd Zahari, mangsa dikatakan tidak mengendahkan teguran suspek sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati remaja itu.

“Suspek telah mencekik dan menghempas mangsa ke lantai hingga mangsa tidak sedarkan diri, dan sejurus itu tiga pelajar lain telah mengusung mangsa ke rumah penyelia asrama

“Apabila warden (pengadu) menyedari mangsa masih bernyawa beliau bergegas membawa mangsa ke  Hospital Tengku Ampuan Afzan, (HTAA) untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Bagaimanapun, setiba di hospital pegawai perubatan HTAA yang bertugas ketika itu memaklumkan bahawa mangsa telah meninggal dunia.

Menurut Wan Mohd Zahari, mayat mangsa kini ditempatkan di Unit Forensik HTAA dan bedah siasat dijangka dijalankan selepas mendapat keputusan ujian saringan Covid-19. –

Suspek menjalani perintah reman mulai semalam sehingga 27 Mac ini. – MalaysiaGazette