Home Politik UMNO Selangor sedia tampil calon muda hadapi PRU15

UMNO Selangor sedia tampil calon muda hadapi PRU15

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Banjir Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia di Shah Alam Convention Centre. Foto MOHD ADZLAN, 21 MAC 2022.

SHAH ALAM – UMNO dan Barisan Nasional (BN) Selangor sedia untuk menampilkan muka baharu khususunya anak muda dalam Pilihan Raya Umum (PRU15) akan datang.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, perubahan itu perlu dilakukan bagi meneruskan momentum kemenangan parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

“Dua kumpulan ini mesti ada, yang veteran dan muda, kalau tiada yang lama, maka tiada yang muda.

“Jadi yang muda kita perlu kerana mungkin zaman sudah berubah dan kita mesti ada kesinambungan untuk memastikan ada pelapis.

“Selangor pun sama, Insya-Allah kita akan lihat kita juga akan tonjol pemimpin-pemimpin muda,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sabtu lalu, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu akan meletakkan 70 peratus muka baharu sebagai calon PRU15.

Ahmad Zahid berkata, ia bersandarkan perubahan yang berlaku dalam PRN Melaka dan Johor.

Bagaimanapun konsep Winnable, Acceptable Likeable (Wali) akan dipertimbang dan dirunding bersama kepimpinan parti dan ketua bahagian parti itu. – MalaysiaGazette