KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Negara diminta mencatatkan ketidakhadiran Menteri serta Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada sesi soal jawab persidangan hari ini, sebagai tidak selaras dengan peraturan mesyuarat.
Yang Dipertua Dewan Negara Rais Yatim berkata, ini kerana soalan yang dikemukakan kepada kementerian itu penting untuk diketahui semua pihak.
“Jika itu tidak dapat dilakukan, catatan ini harus menjadi sebahagian daripada prosiding dan satu jawapan bertulis hendaklah diberi oleh Yang Berhormat menteri kepada Dewan mulia ini,” katanya pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, Senator Muhammad Zahid Md Arip mengajukan soalan nombor tiga kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengenai pendirian Malaysia berhubung konflik antara Rusia dan Ukraine terutama daripada aspek ekonomi dan politik.
Muhammad Zahid juga ingin tahu langkah bagi menangani kesan ekonomi terhadap negara ini susulan konflik itu.
Bangun mencelah selepas Rais berucap, Senator Othman Aziz meminta penjelasan sama ada soalan yang diajukan kepada menteri atau timbalan menteri tidak dapat dijawab mengikut penjadualan boleh dibawa ke hari berikut.
“Kalau semua orang berbuat sedemikian, kita mainkan peranan ‘pak tangguh’ dan Dewan ini tidak berkeadaan sedemikian. Sama ada kita melihat peraturan di ‘house of laws’ ataupun ada dalam amalan demokrasi lain,” jelas Rais.
“Ini tidak dapat dibenarkan, kecuali atas sesuatu perkara yang sangat mendera atau terpikul oleh pihak yang berkenaan. Oleh kerana pihak saya tidak menerima secara khusus hal ini maka ia berada dalam penentuan seperti saya tegaskan sebentar tadi,” tambahnya.
Rais kemudian meneruskan sesi soal jawab persidangan Dewan Negara mengikut Aturan Urusan Mesyuarat. – MalaysiaGAzette