KUALA LUMPUR – Blok pembangkang hari ini membidas langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kadar gaji minimum RM1,500 yang dibuat ketika ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 pada Sabtu lalu.
Nurul Izzah Anwar (Ahli Parlimen Permatang Pauh-PH) terkejut dengan pengumuman yang dibuat dan mendakwa tidak pernah dibuat oleh mana-mana perdana menteri sebelum ini.
“Terkejut juga diumumkan semasa Perhimpunan Agung UMNO saya rasa that’s is unprecedented. Selalunya Perdana Menteri ambil keputusan and you are Prime Minister for all of Malaysia (kamu adalah Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia).
“Bukan hanya parti masing-masing, jadi sementara kita sambut baik tapi kita kena ingat isu RM1,500 diuar-uarkan sebelum pandemik menyerang atau pun menghimpit semua kita,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Kerja (Pindaan) 2021 di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Nurul Izzah berkata, pindaan gaji minimu itu seharusnya dilakukan setiapa dua tahun sekali bersandarkan kepada Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 Akta 732.
“Ia permulaan yang baik tapi ia relevan mungkin untuk empat tahun lalu dan saya bukan mengatakan kita tidak ambil kita keperluan majikan tapi kena adil.
“Kalau ikut keperluan sekarang sepatutnya lebih tinggi dan ini berkait kepada pindaan,” katanya.
Ismail Sabri ketika berucap di PAU 2021 berkata,kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan bermula 1 Mei ini di seluruh negara.
Pelaksanaan gaji minimum itu bagaimanapun akan hanya membabitkan majikan syarikat besar dan tidak membabitkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana. – MalaysiaGazette