CLARK – Stephen Paddock, lelaki yang membunuh 59 mangsa dan mencederakan lebih daripada 500 orang di Las Vegas telah memasang sejumlah kamera dalam bilik hotelnya.
Pegawai polis, Joseph Lombardo berkata, kamera-kamera yang dipasang bertujuan memantau pergerakan polis.
Polis turut menemui pelbagai senjata api dan bahan letupan di kediamannya.
Polis masih menyiasat punca Paddock, 64, melepaskan tembakan di konsert dari Hotel Mandalay Bay.
Bagaimanapun, polis telah mengenal pasti tindakan Paddock itu adalah jenayah terancang peringkat tertinggi.
Kes tembakan itu adalah paling buruk pernah berlaku dalam sejarah moden Amerika Syarikat sehingga Presiden Donald Trump menyifatkan Paddock sebagai seorang lelaki yang sakit dan tertekan.
Tetapi Reuters yang memetik kenyataan seorang pegawai keselamatan dalam negeri Amerika Syarikat berkata, tidak ada bukti Paddock mengalami ‘sakit mental atau kerosakan otak’.
Setakat ini polis juga tidak menemui sebarang kaitan tindakan Paddock itu dengan mana-mana organisasi pengganas dalam atau di luar negara.
Paddock yang membunuh dirinya sebelum polis menyerbu bilik hotelnya disahkan tidak mempunyai rekod jenayah.
Polis masih mempertimbangkan teman wanita Paddock, Marilou Danley sebagai ‘individu yang mempunyai kepentingan’.
Wanita itu berasal dari Filipina. – MalaysiaGazette