Home National KKM sudah kompaun Kit Siang, KJ minta Najib bayar denda

KKM sudah kompaun Kit Siang, KJ minta Najib bayar denda

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin hadir pada Majlis Perasmian NKF 16th Anuual Dialysis di Hotel Sheraton, Petaling Jaya, Selangor. Foto MUHD NA'IM, 5 MARCH 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenakan kompaun terhadap Lim Kit Siang.

Penjelasan tersebut dibuat oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin selepas bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan mengapa Kit Siang tidak dikenakan kompaun selepas melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Dalam ciapan sama di Twitter, Khairy Jalamuddin meminta Najib supaya menjelaskan satu kompaun yang dikenakan terhadap beliau berikutan melanggar SOP semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor,

Ahli Parlimen Pekan itu turut diminta untuk menerima empat lagi kompaun atas kesalahan yang sama.

“Kompaun sudah dikeluarkan kepada @limkitsiang. KKM juga harap @NajibRazak bayar satu kompaun yang dikeluarkan semasa PRN Johor yang masih belum settle.

“KKM juga harap @NajibRazak menerima empat lagi kompaun yang dihantar melalui pos daftar yang pegawai DS enggan terima sebelum ini,” kata KJ.

Najib dalam media sosialnya mempersoalkan mengapa KKM tidak mendenda Kit Siang kerana melanggar SOP.

Kit Siang didapati berpelukan dengan ahli-ahli parti dan pemimpin Pakatan Harapan dalam Kongres DAP yang berlangsung pada Ahad lepas.

Najib membuat komen tersebut selepas Kit Siang dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi tetamu kongress itu dijangkiti Covid-19.

Najib dalam komennya turut memetik nama Khairy Jamaluddin yang telah menyamannya beberapa kali kerana melanggar SOP.

“Kenapa pula artis Anugerah Juara Lagu boleh disaman (kerana) berpeluk tapi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tak saman DAP?

“Saya tak berniat jahat tapi geng inilah yang paling seronok tuduh saya langgar SOP sehingga (menteri kesihatan) Khairy Jamaluddin saman saya banyak kali.

“Lebih elok juga ahli-ahli parlimen DAP yang berpeluk dengan Kit Siang semalam kuarantin kendiri dan jangan datang parlimen. Silap-silap seluruh dewan dijangkit mereka.

“Apapun, saya juga doakan kesemua mereka selamat daripada dijangkiti,” katanya di Facebook.

Media sebelum ini melaporkan, Khairy Jamaluddin memaklumkan bekas Najib telah dikenakan kompaun atas kesalahan tidak mematuhi prosedur SOP ketika siri kempen di PRN Johor.

Namun menurut Khairy, pegawai Najib bertindak enggan menerima kertas kompaun tersebut.- MalaysiaGazette