Home Ekonomi Farm Fresh mula disenaraikan di Bursa Malaysia

Farm Fresh mula disenaraikan di Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Pengusaha ladang tenusu, Farm Fresh Bhd memulakan penyenaraian sahamnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd hari ini dengan harga saham RM1.70 seunit iaitu premium sebanyak 35 sen daripada harga tawaran RM1.35.

Pada pembukaan, kaunter menyaksikan 27.24 juta saham bertukar tangan.

Ini adalah penyenaraian terbesar di Bursa Securities sejak Jun 2021 berdasarkan pada permodalan pasarannya sebanyak RM2.5 bilion.

Mengulas mengenai penyenaraian itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Farm Fresh Loi Tuan Ee berkata, dengan sokongan dan penyertaan pihak berkepentingan, kumpulan itu berhasrat untuk menerokai rantau dan pasaran baharu untuk mengembangkan kehadirannya.

“Melihat kepada permintaan pengguna yang semakin meningkat untuk produk susu segar, saya yakin Farm Fresh mampu menyampaikan produk berkualiti dan bernilai kepada pengguna,” katanya kepada pemberita selepas penampilan sulung kumpulan itu di Pasaran Utama di sini, hari ini.

Loi berkata, kumpulan itu mempunyai rancangan menarik untuk mengembangkan lagi perniagaan dan meningkatkan penembusan pasarannya.

Beliau menambah,  Farm Fresh akan melancarkan susu tumbesaran berasaskan formula susu segar yang diperkaya pada bulan Jun tahun ini, yang akan bersaing dengan kedua-dua susu kanak-kanak berasaskan serbuk dan produk berasaskan susu tersusun semula sedia untuk diminum (RTD).

“Ini akan membolehkan kami memacu pertumbuhan lagi dengan budaya inovasi dan komitmen kami untuk menghasilkan produk yang sihat untuk anak-anak yang sedang membesar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Mohd Khairul Mat Hassan berkata,  dengan siapnya ladang dan kilang pemprosesan di Taiping tahun ini akan meningkatkan lagi kapasiti huluan dan pertengahan serta mengurangkan kos logistik untuk membekalkan produk susu sejuk ke negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia.

Kumpulan itu juga merancang untuk menyediakan barisan pengisian dan pembungkusan tambahan di kemudahan Muadzam Shah pada suku kedua 2022 dan kemudahan pemprosesannya di ladang Universiti Putra Malaysia.

“Kami menjangka untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 29.8 juta liter tahun ini,” katanya.

Mohd Khairul berkata, kumpulan turut berhasrat untuk memulakan pengembangan serantaunya dengan rancangan kemasukannya ke Indonesia, Filipina dan Hong Kong.

“Dalam tempoh terdekat ini, tumpuan segera kami adalah pada pasaran Singapura kerana penyiapan kilang pemprosesan Taiping akan membebaskan sedikit kapasiti di kilang pemprosesan Larkin kami, membolehkan kami memfokuskan kepada eksport ke Singapura yang telah berkembang dengan kukuh sepanjang tiga tahun lepas,” tambahnya.

Farm Fresh mengendalikan lima ladang tenusu di Malaysia dan satu di Australia, meliputi kawasan seluas 2,191.78 hektar.

Kumpulan itu juga memiliki dan mengendalikan dua kemudahan pemprosesan di Johor dan Pahang,  dengan gabungan kapasiti pengeluaran kira-kira 137.0 juta liter produk siap setiap tahun serta kemudahan pemprosesan di Kyabram, Australia, dengan kapasiti untuk menghasilkan sekitar 84.0 juta liter susu diproses setiap tahun. – MalaysiaGazette