KAJANG – Perikatan Nasional (PN) menyarankan supaya Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti diperincikan dengan memberikan definisi lebih tepatĀ berhubung terma ‘lompat parti’ sebelum dibentang di Dewan Rakyat.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, RUU Anti Lompat Parti itu perlu mengetengahkan definisi ‘lompat parti’ yang boleh diterima semua pihak tanpa kekhilafan bagi mengelak isu berbangkit atau dipertikaikan pada masa depan.
Malah katanya, RUU berkenaan juga perlu diperincikan menerusi beberapa aspek lain yang mungkin mengelirukan bagi mengelak elemen salah guna kuasa dalam kalangan pemimpin sesebuah parti itu.
“Saya beri contoh, apabila seseorang itu dipecat parti…dia tidak boleh pergi ke parti lain. Selain itu, hak ahli untuk mempunyai ketegasan dalam parti juga adalah sesuatu perkara yang patut diambil kira.
“Misalnya, apabila ahli parti tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti yang melakukan perkara salah, dia bertegas dan melawan (kepimpinan tertinggi) sehingga dia dipecat dari parti…jadi apakah ia juga dianggap dia tidak boleh pergi ke parti lain? Apakah itu juga dianggap sebagai lompat parti?
“Jadi inilah perkara terperinci patut diambil perhatian…itu satu contoh dan ada banyak lagi contoh lain sepatutnya kita telah pun bersetuju,” katanya dalam sidang media Majlis Sambutan Hari Penjara Ke-232 di Ibu Pejabat Penjara Kajang hari ini.
Pada Ahad lalu, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menggesa RUU Anti Lompat Parti diluluskan tidak lewat daripada mesyuarat pertama Parlimen 2022 Mac ini seperti dipersetujui dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai bersama kerajaan memerintah dibawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada September lalu.
Sambil mengetengahkan kedudukan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu menambah RUU berkenaan akan memberi peluang kepada presiden parti melakukan salah guna kuasa sekali gus menjejaskan kestabilan pentadbiran negara.
“Perdana Menteri kita ketika ini hanya Naib Presiden UMNO dan bukannya presiden parti. Namun, kalau presiden tak puas hati dengan beliau (Ismail Sabri) dan memecatnya. Maka dengan sendirinya tergugur (dari parti). Adakah ia sesuatu yang adil?
“Sebab inilah kita fikir biar kerajaan study (kaji) dengan lebih mendalam, perhalusi semua perkara ini…kemudian bawa ke Parlimen.
“Bukannya kita tidak mahu bawa (RUU Anti Lompat Parti) dan ada juga cadangan supaya kita buat sidang khas Dewan Rakyat hanya untuk bentang RUU ini, kita hendak buat cuma perlukan sedikit masa lagi dan penjelasan daripada Jabatan Peguam Negara.
“Pembangkang mungkin tidak tahu apa yang saya jelaskan ini, jadi kita tak salahkan mereka mahu pun kerajaan dan kita hendak selesaikan sesuatu akta biarlah ia boleh diterima pakai bukan hanya untuk tahun ini atau tahun depan semata-mata tetapi boleh gunakan berpanjangan sehingga tempoh yang kita rasa sesuai digunakan dalam landskap politik negara ketika ini,” tegasnya.- MalaysiaGazette