Home Dunia Kecurian data jejas 3 bilion akaun pengguna Yahoo

Kecurian data jejas 3 bilion akaun pengguna Yahoo

CALIFORNIA – Yahoo mendakwa sejumlah tiga bilion akaun penggunanya terjejas dalam serangan penggodam sejak tahun 2013.

Syarikat itu yang diambil alih oleh Verizon pada awal tahun ini berkata, siastaan yang dijalankan menunjukkan serangan itu jauh lebih tinggi daripada yang dijangkakan.

Pengambilalihan oleh firma telekom Amerika Syarikat itu telah selesai pada 13 Jun lalu pada hargas AS$4.8 bilion.

Namun harga itu dikurangkan kepada AS$4.5 bilion selepas Yahoo mendedahkan ia menjadi mangsa penggodam pada tahun 2013 dan 2015 – dua pelanggaran keselamatan yang besar.

Verizon kemudian menggabungkan AOL dan Yahoo dalam perniagaan baharu yang dikenali sebagai Oath.

Data yang dicuri tidak memasukkan kata laluan dalam teks dengan jelas, kad pembayaran atau data akaun bank, tambahnya.

Sebelum ini, gergasi Internet itu memaklumkan lebih daripada satu bilion akaunnya telah digodam.

Yahoo berkata, walaupun pengumuman terbaru itu tidak mewakili “isu keselamatan”, ia menghantar emel kepada semua “akaun pengguna yang terjejas”.

Tambahnya, syarikat itu masih bekerjasama rapat dengan penguatkuasa undang-undang.

Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat Verizon, Chandra McMahon berkata: “Verizon komited kepada standard akuntabiliti dan ketelusan yang tinggi dan kami secara proaktif berusaha untuk memastikan keselamatan pengguna dan rangkaian kita dalam landskap ancaman online”. – MalaysiaGazette