KUALA LUMPUR – Al Ansar IBS PLT, syarikat kontraktor bina banglo telah terpilih menerima Anugerah Peneraju IBS Lot Banglo 2021 di kalangan pemain industri pengusaha lot banglo di negara ini.
Pengerusi Eksekutif Al Ansar IBS PLT, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin berkata, anugerah tersebut adalah pemangkin kepada Al Ansar mengekalkan rentak pencapaian dalam pembinaan lot banglo di negara ini.
“Anugerah yang diterima adalah suntikan semangat kepada pasukan Al Ansar yang beribu pejabat di Cyberjaya meneruskan kerja-kerja yang sebelum ini telah berada di atas landasan yang betul .
“Syarikat juga berjaya melalui kempen bina banglo atas tanah sendiri diikuti dengan kempen sepanjang tahun termasuk kempen Banglo IBS Mesti Bina 2022,” katanya selepas majlis penyampaian Majlis Malam Peneraju Lot Banglo di sini baru-baru ini.
Majlis telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha , Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Azhar Ahmad dan Presiden Persatuan Peneraju Tanah Bumiputera (Peneraju), Bill Rohaizan Rahim.
Muhamad Khanafi menambah, walaupun syarikatnya mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan orang ramai namun masih wujud situasi yang tidak memihak kepada mereka.
“Sebagai kontraktor perumahan, Al Ansar tidak terkecuali daripada diduga dengan masalah birokrasi, tidak amanah, pengabaian perjanjian, kenaikan harga bahan asas dan pelbagai lagi ujian yang kami rungkaikan melalui perbincangan profesional secara dalaman.
“Justeru melalui penganjuran acara seperti malam ini saya melihat kesungguhan rakan pengusaha yang cenderung mengambil berat satu sama lain kerana turut mengalami masalah sama.
“Usaha mewujudkan persatuan Peneraju sangat dialu-alukan kerana melalui persatuan, suara pemain industri yang berkaitan akan bersatu dan menjadi lebih kuat,” ujarnya.
Seiring dengan visi peneraju iaitu untuk menghimpunkan semua pemain industri dalam lot banglo, Muhamad Khanafi berharap langkah tersebut juga membantu menyelesaikan isu-isu berbangkit.
“Contohnya isu lot lidi atau geran kongsi yang menyebabkan perbalahan dan perebutan di kalangan pemilik tanah dan bakal pembeli. Justeru dengan adanya Peneraju diharap berperanan sebagai ‘orang tengah’ untuk menyelesaikan masalah tersebut,” katanya.
Ditanya mengenai kes masalah kontraktor “lari” dan rumah terbengkalai yang menjadi mimpi ngeri kepada pemilik rumah di negara ini, Muhamad Khanafi mencadangkan langkah pertama yang sewajarnya dilakukan dengan melantik konsultan bertauliah.
“Kesilapan yang sering lakukan oleh orang ramai yang mahu membina kediaman adalah terus ke institusi kewangan untuk membuat pinjaman kemudian mencari kontraktor perumahan.
“Kaedah yang betul adalah melantik konsultan untuk mewakili mereka berbincang dengan pemilik tanah seterusnya membuat semakan latar belakang kontraktor yang dilantik sebagai langkah awal mengelak berlakunya masalah.
“Setelah muncul isu kelewatan pembinaan, ketika itu mangsa sering menyalahkan sebelah pihak iaitu pihak pemaju namun tidak dapat berbuat apa-apa kerana lemahnya perjanjian.
“Di pihak pemaju pula menyalahkan pemilik rumah atas kelewatan tersebut dengan pelbagai dakwaan termasuk isu bayaran, tenaga pekerja atau masalah geran. Apabila timbul salah faham dan masalah semakin rumit, disinilah peranan konsultan yang dilantik memainkan peranana termasuk mendapatkan khidmat nasihat daripada Peneraju bagi membantu merungkai masalah,” katanya.
Sementara itu, penganjuran Majlis Malam Peneraju Lot Banglo yang julung kali dianjurkan oleh Peneraju turut menobatkan 25 syarikat lain sebagai penerima anugerah pada malam tersebut.
Antara anugerah yang disampaikan, Most Prestigous Developer 2021, Most Trusted Developer 2021 dan Prestigous Peneraju Malaysia 2021. – MalaysiaGazette