Home Nasional Hampir 35 jam kami duduk atas bot tunggu bantuan – Ruzaini

Hampir 35 jam kami duduk atas bot tunggu bantuan – Ruzaini

PENAGA – “Syukur selepas hampir 35 jam bertarung nyawa atas bot akhirnya kami bertiga diselamatkan.”

Itu cerita salah seorang nelayan yang  ditemui selamat selepas hilang sejak Ahad lalu.

Menceritakan kejadian Ruzaini Saad, 43, berkata, bot yang dinaikinya bersama dua lagi nelayan itu hanyut dibawa arus kira-kira 200 kilometer hingga ke perairan Langkawi, Kedah dari lokasi asal mereka.

Jelasnya, mereka tidak sangka dibawa arus sejauh itu hingga menyebabkan bot yang dinaiki kehabisan minyak sekali gus terkandas di tengah laut.

Ruzaini.

“Selalunya minyak yang diisi cukup untuk perjalanan pergi dan balik namun akibat arus kami hanyut jauh dan hanya sedar keadaan itu apabila enjin mati secara tiba-tiba.

“Kami cuba menghubungi keluarga dan rakan nelayan lain namun gagal sebelum kami membuat keputusan untuk tinggal atas bot dengan mengibarkan bendera merah sebagai isyarat kecemasan.

“Keadaan kami kian lemah apabila bekalan makanan dan minuman habis memandangkan kami keluar memukat ikan pada pukul 5 pagi Ahad lalu sehingga hari Isnin tiada bot lalu di kawasan terbabit untuk kami meminta bantuan.

“Bagaimanapun, syukur pada pukul 7 malam sebuah bot pukat tunda lalu dan memberikan kami bantuan makanan serta minuman sebelum menunda bot kami ke Pulau Bidan di daerah Yan, Kedah,” katanya ketika ditemui di jeti nelayan Sungai Tembus di sini hari ini.

Tambah Ruzaini, nelayan Tanjung Dawai yang membantu mereka dengan memberikan 90 liter petrol sebagai bekalan untuk pulang semula jeti asal.

“Alhamdulillah, kami bertiga selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden tersebut,” katanya.

Afzanizul (baju merah).

Sementara itu, Afzanizul Zakaria, 44, tidak putus berdoa agar ada pihak tampil membantu mereka bertiga.

“Tak dapat nak gambarkan keadaan kami yang terpaksa bermalam dalam bot tanpa bekalan makanan dan minuman yang cukup.

“Kejadian ini saya tak akan lupa namun syukur sangat kami semua selamat dan saya tak sangka kejadian sebegini menimpa kami.

“Terima kasih juga kepada agensi kerajaan seperti bomba, polis dan lain-lain yang berusaha mencari kami,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Tiga nelayan hilang sejak Ahad lalu ditemui selamat

Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan tiga nelayan yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu selepas keluar memukat dari jeti nelayan Sungai Tembus di sini, ditemui dalam keadaan selamat hari ini.

Mangsa, Muhammad Firdaus Shamsudin, 34, Afzanizul Zakaria, 44, dan Ruzaini Saad, 43, diselamatkan bot pukat tunda selepas bot yang dinaiki mereka kehabisan minyak sekali gus menyebabkan mereka terkandas di tengah laut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, hasil siasatan mendapati kesemua mangsa hanyut dibawa arus hingga ke kawasan perairan Langkawi, Kedah menyebabkan bot yang dinaiki mereka kehabisan minyak. – MalaysiaGazette