Home Politik Pastikan Akta Lompat Parti tak rugikan mana-mana pihak – Tuan Ibrahim

Pastikan Akta Lompat Parti tak rugikan mana-mana pihak – Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim Tuan Man UMNO PAS MN Muafakat Nasional Bersatu PN Perikatan Nasional government
Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengotakan janji untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Anti Lompat Parti dalam mesyuarat pertama Parlimen 2022 Mac ini seperti mana yang dipersetujui dalam perjanjian persefahaman (MoU) dengan pembangkang pada September lepas.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun mengakui perkara itu masih belum diperhalusi dan ia perlu dimuktamadkan bagi memberi keadilan kepada semua pihak sebelum dibentangkan di Parlimen.

“CSA (Perjanjian kepercayaan dan bekalan) kita termasuk Akta Lompat Parti, cuma kita perlu memperhalusi, saya akui banyak perkara yang harus kita tengok.

“Katakanlah seseorang itu menang atas tiket bebas, kemudian dia nak menyertai mana-mana parti, apakah itu dikategorikan sebagai lompat parti sebab asal dia tak ada parti.

“Atau lebih kritikal lagi, katalah lepas pilihan raya, tiba-tiba tiada satu parti yang boleh bentuk kerajaankerana tak cukup dua atau tiga kerusi.

“Apakah kita terpaksa buat pilihan raya semula dan kos keluar sekali lagi? Kalau kita perincikan, banyak lagi kena tengok termasuk sekelompok parti menyertai sekelompok yang lain,” kata Menteri Sumber Alam Sekitar dan Air itu di sini hari ini.

Pada Ahad lalu, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menggesa RUU Anti Lompat Parti diluluskan tidak lewat dari mesyuarat pertama Parlimen 2022 Mac ini seperti mana dipersetujui dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, September lalu.

Malah perkara sama turut diulangi Setiausaha Agung Perikatan Nasional (BN) Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menggesa RUU itu diperincikan dengan memberikan definisi lebih tepat berhubung terma ‘lompat parti’ sebelum dibentang di Dewan Rakyat.

Hamzah berkata, Akta Lompat Parti itu perlu mengetengahkan definisi ‘lompat parti’ yang boleh diterima semua pihak tanpa kekhilafan bagi mengelak isu berbangkit atau dipertikaikan pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim memberi jaminan perkara itu akan dimuktamadkan pada sidang Parlimen kali ini supaya ia tidak merugikan mana-mana pihak.

“Perincian itu penting untuk semua pihak, saya fikir bagi pihak kerajaan kita akan laksanakan sebab ini komitmen kita dengan pihak pembangkang kita akan laksanakan.

“Sebab manfaat besar kita nak satu sistem politik yang stabil dapat dilaksanakan di negara kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette