KUALA LUMPUR – Bilik Bahagian Sisatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang terbakar pada hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berkata, bilik gerakan operasi bomba menerima panggilan mengenai kejadian kebakaran itu pada jam 6.15 petang.
Bertindak atas panggilan kecemasan itu, katanya, pasukan bomba dan penyelamat dengan jentera bomba bergegas ke lokasi kejadian.
Pemerhatian di lokasi kebakaran mendapati sebuah bilik di tingkat satu IPD berkenaan yang berkeluasan 4.57 meter panjang dan 4.57 meter musnah 100 peratus, jelasnya.
Beliau berkata, kebakaran dapat dikawal sepenuhnya dan kerja-kerja pemadaman lanjut dilaksanakan.
Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden tersebut, ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof yang mengesahkan insiden tersebut berkata, siasatan untuk mengenal pasti punca kebakaran itu masih dijalankan.
“Pejabat Pentadbiran Jenayah dan ruang Pegawai Kanan Penyiasatan musnah sepenuhnya dalam kebakaran di IPD Sepang di sini,” katanya ketika dihubungi. – MalaysiaGazette