KUALA LUMPUR – Kenapa ada pihak tertentu yang enggan membenarkan penanaman ketum dan hemp untuk tujuan eksport dan perubatan?
Itu persoalan Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang juga tertanya-tanya walaupun tanaman ketum dan hemp itu dapat membantu ekonomi rakyat dan negara yang sekian lama berhadapan masalah ekonomi sejak Covid melanda negara.
Namun, katanya, ramai yang masih melihat langkah itu dari sudut yang negatif.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, cadangan tanaman ketum dan hemp untuk tujuan eksport dan seterusnya bagi perubatan haruslah dilihat secara positif.
“Kalau kita fikir secara positif, memang banyak kebaikannya. Pertama ia adalah untuk tujuan eksport dan seterusnya perubatan.
“Selain itu, ia dapat meningkatkan pendapatan ekonomi pekebun dan petani. Juga seterusnya dapat membantu ekonomi negara kerana tanaman berkenaan dapat memberi nilai yang tinggi iaitu berbilion ringgit.
“Namun saya hairan kenapa cadangan ini tidak mahu diluluskan oleh sesetengah pihak. Kita bukan suruh orang minum air ketum dan hemp. Oleh itu, kerajaan harus melihat bahawa cadangan itu adalah untuk eksport dan perubatan,” katanya.
Beliau berkata demikian semalam selepas menerima memorandum berhubungan cadangan ketum dan hemp hasil dari forum awam berkaitan tanaman berkenaan yang telah diadakan baru-baru ini.
Zahidi berkata, memorandum tersebut akan diserahkan kepada Perdana Menteri selain kepada Menteri Dalam Negeri dan Menteri Kesihatan.
Di samping itu kata beliau, pihaknya dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan termasuk Pusat Racun Negara akan bertemu dengan Ahli-ahli Parlimen secara berperingkat untuk menjelaskan tujuan tanaman ketum dan hemp bagi eksport dan perubatan.
“Minggu depan saya akan serahkan memorandum ini kepada Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Kesihatan. Minggu berikutnya kita akan bertemu dengan ahli-ahli Parlimen bagi menjelaskan cadangan ketum dan hemp ini secara manfaat kepada rakyat dan negara.
“Tujuan kita supaya petani dan pekebun dapat menambah pendapatan mereka. Rakyat sedang susah. Saya sedar rakyat sedang susah. Saya pun datang dari keluarga yang susah. Sebab itu saya harap langkah tanaman ketum dan hemp untuk tujuan eksport seterusnya bagi perubatan dapat dilaksanakan kerana ia dapat meningkatkan pendapatan rakyat,” katanya.
Zahidi berkata, untuk membolehkan tanaman ketum dan hemp direalisasikan, akta berkaitan perlulah dipinda di Parlimen.
Beliau berkata, adalah sesuatu yang merugikan rakyat dan negara apabila pendapatan hasil ketum dan hemp itu direbut oleh negara-negara luar hingga berbilion ringgit.
“Sebelum ini memang ada negara Barat yang meminta negara kita eksport ketum tapi akta sedia ada melarang berbuat demikian. Akhirnya ada orang dari negara jiran yang memenuhi permintaan negara bara itu. Hasilnya orang yang menyediakan tanaman ketum itu untuk eksport kini sudah jadi bilionair. Yang rugi orang kita.
“Kita harap kerajaan dapat laksanakan langkah tanaman ketum dan hemp ini dengan kawalan yang ketat. Kita boleh lakukan kawalan yang ketat. Yang penting ia untuk eksport dan perubatan.
“Malah, tanaman berkenaan dari kajian pelbagai pihak termasuk Pusat Racun Negara sebenarnya amat berguna dalam menyelesaikan masalah penagihan dadah. Pusat Racun Negara telah membuat kajian malah ada universiti tempatan juga telah membuat kajian sama. Tanaman ini berguna dalam menyelesaikan masalah penagihan dadah.
“Kerajaan sudah tubuhkan Pusat Racun Negara dan pusat berkenaan mendapati bahawa tanaman tersebut berguna dalam menyelesaikan masalah penagihan dadah, maka kita kena yakinlah. Jika kita tidak yakin dengan Pusat Racun Negara yang telah membuat kajian, maka tak perlulah kita tubuhkan pusat berkenaan,” katanya.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: