Home Dunia 1MDB: Pegawai bank Goldman beli jam pasir berharga AS$20,000

1MDB: Pegawai bank Goldman beli jam pasir berharga AS$20,000

Roger Ng. foto Bloomberg

NEW YORK – Seorang ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) memberitahu juri bagaimana dia mengesan sejumlah wang AS$35 juta yang diambil daripada 1MDB, dilencongkan kepada seorang pegawai bank Goldman Sachs dan digunakan untuk membeli jam pasir bersalut emas yang berharga AS$20,000 dan barang kemas berlian pada harga AS$300,000.

Sean Fern memberi keterangan itu pada perbicaraan kes rasuah terhadap bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc, Roger Ng

Saksi itu memberitahu, dia dapat menjejaki dana dikatakan oleh pendakwa raya  yang diperoleh Ng sebagai  sebahagian daripada wang yang dicuri daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ketika AS mula menyelesaikan kesnya selepas lima minggu memberi keterangan, pendakwa raya memanggil Fern untuk menerangkan bagaimana Jho Low – yang didakwa dalang kes ini memperoleh ratusan juta dolar daripada perjanjian bon 1MDB untuk membayar rasuah kepada pegawai di Malaysia dan Abu Dhabi serta sogokan kepada pegawai bank Goldman yang membantunya.

Dalam kes ini Goldman bertindak sebagai mengatur urus niaga bon.

Ng dituduh bersubahat dengan bekas majikannya, Tim Leissner dan Low dalam penipuan itu.

Leissner, yang telah mengaku bersalah dan memberi keterangan untuk kerajaan berkata, dia memperoleh lebih AS$60 juta untuk peranannya dalam plot itu dan mengarahkan Ng dibayar AS$35.1 juta daripada akaun yang dikawal oleh bekas isteri Leissner, Judy Chan.

Fern berkata, beliau menjejaki bagaimana dalam beberapa minggu selepas perjanjian bon 1MDB pertama ditutup pada Mei 2012, sekurang-kurangnya AS$24.4 juta diarahkan keluar daripada akaun Judy ke akaun luar pesisir yang dikawal oleh ibu mertua Ng, Tan Kim Chin .

Dua lagi transaksi pada 2013 bernilai AS$10.7 juta daripada akaun di bawah kawalan Judy Chan ke akaun luar pesisir yang dikawal Tan, katanya memberi keterangan.

Fern memberitahu juri bahawa sebahagian daripada wang 1MDB digunakan untuk membeli barang kemas berlian dengan nilai AS$300,500, termasuk cincin enam karat dan jam pasir bersalut emas berharga AS$20,000.

Namun, isteri Ng, Lim Hwee Bin, mahupun ibunya tidak didakwa dalam kes itu. – Bloomberg (https://www.bloomberg.com/news/articles/2022-03-22/ex-goldman-banker-s-1mdb-loot-bought-20-000-hourglass-diamonds)