Home Nasional Pulau Pinang rapat saf solat mulai 1 April ini

Pulau Pinang rapat saf solat mulai 1 April ini

Ahmad Zakiyuddin.

GEORGE TOWN – Pulau Pinang akan melaksanakan solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal di semua masjid dan surau di negeri ini bermula 1 April depan.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, keputusan itu dibuat selepas jawatankuasa masjid dan surau di negeri ini bersetuju menggunapakai prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan pusat.

Jelas beliau, beberapa garis panduan SOP lain akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat untuk diguna pakai di seluruh masjid dan surau negeri ini.

“Selain rapat saf solat, kita juga memutuskan untuk membenarkan kanak-kanak bawah 12 tahun hadir ke masjid serta surau.

“Garis panduan SOP lain kita akan keluarkan sehari dua lagi, namun dalam masa yang sama kita masih menggalakkan jemaah membawa sejadah sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Pulau Pinang di Hotel City Bayview, Lebuh Farquhar hari ini.

Ahmad Zakiyuddin merasmikan Majlis Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Pulau Pinang di Hotel City Bayview, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa aktiviti solat jemaah di masjid, surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal bermula 1 April ini.

Keputusan itu dibuat susulan Malaysia akan memasuki Fasa Peralihan Endemik bermula bulan depan.

Bagaimanapun, pelaksanaan dan SOP akhir untuk masjid, surau ia tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama negeri dan untuk rumah ibadat selain Islam, tertakluk kepada Kementerian Perpaduan serta Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain.

Mengulas lanjut, Ahmad Zakiyuddin berkata, pihaknya turut memutuskan pelaksanaan solat sunat tarawih secara berjemaah di masjid dan surau seluruh Pulau Pinang.

“Namun keputusan untuk melaksanakan lapan atau 20 rakaat solat sunat itu, bergantung pada pihak pengurusan dan kapasiti ruang yang ada pada masjid serta surau terbabit.

“Kita serahkan kepada pihak pengurusan masjid untuk tentukan. Sekiranya pihak pengurusan dapat mengawal jemaah dan mengikut SOP mereka boleh melaksanakan 20 rakaat,” jelas beliau. – MalaysiaGazette

+ posts