KUALA LUMPUR – Pejabat kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan di media sosial bahawa beliau dalam peracangan untuk menubuhkan Gerakan Pejuang Nasional (GPN).
Berdasarkan kepada pertanyaan MalaysiaGazette hari ini, katanya, dakwaan itu adalah tuduhan palsu.
“Palsu,” jawab seorang pegawai di pejabat Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang).
Pegawai itu sempat memberikan gambar dengan tanda palsu.
Awal hari ini, memetik Facebook Politik Malaysia Terkini, Mahathir didakwa dalam usaha untuk menubuhkan satu gabungan baharu politik, GPN.
“Dr Mahathir akan wujudkan Gerakan Pejuang Nasionaldi kalangan parti-parti pembangkang,” tulis poster berkenaan.
Dalam status itu, beberapa parti didakwa akan menyertai gabungan itu antaranya Pejuang, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Piagam Rakyat, Pas, Gerakan dan Parti Warisan Sabah (Warisan).
Pada 18 Mac lalu, Mahathir dilaporkan berkata, kemungkinan wujud gabungan parti pembangkang bagi menentang Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Ada kemungkinan… cadangan ada disuarakan beberapa parti pembangkang supaya tidak berpecah, berpecah ini hanya menyebabkan kita kalah. Cadangan ini (pembangkang bergabung) perlu dikaji secara mendalam,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. – MalaysiaGazette