KUALA LUMPUR – Putera Charles dan isterinya Camilla akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada 3 November ini untuk menyambut ulang tahun hubungan diplomatik ke-60 United Kingdom-Malaysia.
Clarence House dalam kenyataan berkata, Charles dan Camilla dijadualkan melawat Kuala Lumpur, Sarawak, Perak dan Pulau Pinang.
Pasangan diraja itu akan melawat usaha-usaha mempromosikan pemuliharaan hidupan liar dan perlindungan biodiversiti dan bertemu dengan anggota masyarakat adat Sarawak.
“Camilla juga akan menemui wakil-wakil Purple Lily, sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan yang komited untuk memberi inspirasi dan memperkasakan wanita dan beliawanis dengan menyediakan latihan kemahiran hidup dan pendidikan kewangan.
“Di Georgetown, Pulau Pinang, pasangan itu berpeluang untuk menemui kepelbagaian komuniti yang berlainan agama dan etnik yang menetap di Warisan Dunia UNESCO dan merasai pengalaman budaya,” kata Clarence House yang merupakan pejabat rasmi Putera Charles.
Program lawatan Charles dan Camilla itu termasuk dalam perayaan Komanwel bagi Sidang Kemuncak Komanwel yang akan diadakan di United Kingdom pada tahun 2018 dan Malaysia pada tahun 2020.
Malaysia adalah destinasi kedua Charles dan Camilla semasa lawatan tiga negara antara 30 Oktober dan 9 November ini.
Pasangan itu dijadualkan berada di Singapura pada 31 Oktober dan India pada 8 November. – MalaysiaGazette