Home Sukan Harimau Malaya kembali mengaum di Kota Singa

Harimau Malaya kembali mengaum di Kota Singa

KUALA LUMPUR – Pengurus dan jurulatih baharu Harimau Malaysia, Kim Pan Gon memberi sinar baharu apabila skuad kendaliannya menundukkan Filipina 2-0 pada aksi persahabatan Siri Tiga Negara di Stadium Nasional, Singapura, malam ini.

Kemenangan itu menyaksikan pengendali dari Korea Selatan itu menamatkan ‘kitaran’ badi 18 tahun yang membelenggu pengendali skuad kebangsaan yang sebelum ini gagal meraih kemenangan dalam perlawanan pertama di bawah kendalian mereka.

Malah, keputusan itu membolehkan Malaysia meraih kemenangan pertama dalam enam perlawanan menentang pasukan di ranking ke-129 dunia itu selepas kali terakhir menang ke atas Filipina pada 2007.

Malaysia hanya memerlukan dua minit untuk merobek gawang Filipina selepas hantaran lolos La Vere Corbin Ong menemui Akhyar Rashid yang kemudiannya bijak memperdayakan pertahanan Filipina sebelum merembat deras menewaskan Neil Etheridge.

Malaysia terus mengganas dalam tempoh lima minit pertama namun percubaan Syafiq Ahmad terkena palang dan percubaan susulan R Kogileswaran dinafikan pertahanan Filipina di atas garisan gol.

Permainan pantas permainan yang mula kendur pada pertengahan babak pertama tidak menghalang Malaysia daripada terus mendominasi permainan dan Filipina tidak dibenarkan bermain dengan selesa.

Gol kedua negara hadir pada minit ke-24 menerusi serangan balas pantas dan hantaran Syafiq daripada sebelah sayap kanan disempurnakan Akhyar sebelum pemain itu hampir mencetak hatrik pada penghujung babak pertama.

Selepas rehat, Filipina mula kembali dengan aksi lebih kemas dan banyak menggunakan kekasaran untuk menyekat kemaraan pemain Malaysia yang tampak lebih pantas dan cergas pada perlawanan ini.

Selepas ini, skuad negara akan berdepan satu lagi aksi persahabatan Tier 1 berdepan Singapura sebelum beraksi dalam perlawanan penutup menentang kelab Liga Singapura, Albirex Niigata FC pada Isnin ini. – MalaysiaGazette