Home Nasional Tolak pindaan SOSMA bukan bermakna PM hilang sokongan majoriti

Tolak pindaan SOSMA bukan bermakna PM hilang sokongan majoriti

Mohamed Haniff Khatri

KUALA LUMPUR – Kegagalan kerajaan mendapatkan kelulusan Dewan Rakyat bagi meminda Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) tidak bermakna Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah hilang sokongan majoriti.

Peguam Haniff Khatri berkata, pandangan bahawa tindakan pembangkang itu boleh menyebabkan perdana menteri hilang majoriti di Dewan Rakyat adalah menyalahi konsep Perlembagaan serta undang-undang khusus berkaitan tadbir urus negara.

Katanya, bukan setiap usaha kerajaan membentangkan rang undang-undang di Dewan Rakyat yang tidak mendapat sokongan bermaksud berlaku secara serta-merta serangan terhadap majoriti yang diperoleh perdana menteri.

Beliau berkata, satu-satunya pembentangan rang undang-undang yang secara tradisionalnya jika tidak mendapat sokongan dan boleh dianggap perdana menteri hilang majoriti adalah usul pembentangan belanjawan  negara.

Katanya, keadaan itu jika berlaku maka perdana menteri sebagai ketua kerajaan yang menyelia perbelajaan negara telah hilang keyakinan dalam kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat.

“Maka sesiapa menghujahkan perdana menteri hilang mejoiti semata-mata kerana isu SOSMA maka hujah tersebut tidak tepat dari sudut Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Artikel berkaitan:

Haniff mengulas perkembangan di Dewan Rakyat yang menyaksikan usul kerajaan untuk meminda Akta SOSMA bagi membolehkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA yang akan berakhir 31 Julai ini dilanjutkan lima tahun lagi.

Sebelum ini kuat kuasa peruntukan akta yang dilaksanakan pada 2012 itu telah dilanjutkan pada 2017.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin ketika membentangkan usul tersebut berkata, lanjutan kuat kuasa untuk tempoh lima tahun lagi itu perlu disertakan dengan lanjutan tempoh tahanan melebihi 28 hari.

Bagaimanapun usul tersebut gagal apabila keputusan undi belah bahagi menyaksikan 84 ahli Parlimen bersetuju, 86 menolak dan 50 lagi tidak hadir.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa ketika mengulas perkembangan tersebut berkata, penolakan pembangkang itu menandakan memorandum persefahaman yang dimeterai antara Pakatan Harapan dan kerajaan terbatal.

Ini kerana berdasarkan memorandum tersebut, PH telah berjanji untuk menyokong setiap usul yang dibentangkan oleh kerajaan.

Mengulas lanjut Haniff berkata, sehingga kini pembangkang telah menyatakan sokongan terhadap pembentangan Belanjawan dan apa yang berlaku hari ini adalah isyarat bahawa demokrasi dalam Parlimen masih sihat di mana setiap wakil rakyt menggunakan hak mereka dan bukannya secara membuta tuli mengikut kerajaan atau arahan pembangkang.

Mengenai sama ada pindaan SOSMA boleh dibentangkan semula, katanya, kerajaan boleh berbuat demikian jika mahu meneruskan hasrat tersebut atau membentangkan akta baharu. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Cara yg terbaik ialah bubarkan parlimen…kerajaan kena dapat mandat baharu daripada rakyat bukannya setiap kali nak bentang usul kena dapatkan belas kasihan pembangkang..sebab itu lah di Johor diadakan PRN. Sebabnya sama..sekarang ni di Johor pembangkang tak sokong pun tak ada hal laaa..pentadbiran boleh jalan terus sebab telah dapat mandat rakyat

  2. Orang mengantuk harapkan bantal . Lain tajuk lain pula tafsiran keluar. Rindunya nak cepat berkuasa penuh . Dengan harapan boleh tutup segala kesalahan . Boleh cepat bina kubu kebal undang2 .

Comments are closed.