Home Politik Ahmad Fayhsal kutuk PH tolak usul pindaan Akta SOSMA

Ahmad Fayhsal kutuk PH tolak usul pindaan Akta SOSMA

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengutuk dan mengecam tindakan ahli Parlimen Pembangkang kerana menolak pindaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau SOSMA di Dewan Rakyat semalam.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara itu berkata, tindakan tersebut menunjukkan parti pembangkang masih mengutamakan perbezaan politik berbanding kepentingan rakyat Malaysia.

Tegas beliau, apa yang dilakukan ahli Parlimen Pembangkang itu juga tidak menghormati Memorandum Persefahaman (MoU) serta Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) yang telah dipersetujui antara Kerajaan dan Pakatan Harapan.

“Tindakan ahli-ahli Parlimen pPembangkang khususnya daripada DAP hari ini juga jelas memperlekehkan dan memperkotak-katikkan usaha kerajaan, khususnya Kementerian Dalam Negeri untuk mewujudkan satu persekitaran dan perimeter yang selamat,” katanya.

Intipati Perkara 3.3 (b) MoU antara pembangkang dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyebut bahawa Pakatan Harapan bersetuju untuk ‘mengambil pendirian menyokong atau berkecuali dalam apa-apa usul yang dikemukakan oleh kerajaan.’

Tambah Wan Ahmad Fayhsal, pindaan Subseksyen 4(5) SOSMA amat penting bagi menangani jenayah dan keganasan khususnya yang bersifat rentas sempadan seperti serangan pengganas di Lahad Datu Sabah pada 2013.

“Biar pun Menteri Dalam Negeri Datuk Hamzah Zainuddin telah memberikan jaminan di dalam Dewan Rakyat bahawa pindaan ini tidak akan digunakan ke atas ahli politik namum pembangang telah memilih untuk menggadaikan keselamatan rakyat dan negara ini demi kepentingan politik sempit mereka!

“Tindakan populis tidak bertanggungjawab yang mengkhianati rakyat dan membahayakan keselamatan negara ini amat dikesali dan mereka pasti akan dihukum oleh rakyat kelak,” katanya.

Seramai 86 ahli Parlimen mengundi tidak bersetuju berbanding 84 orang yang bersetuju dalam meluluskan usul kerajaan untuk meminda Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Pindaan tersebut bagi membolehkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA yang akan berakhir 31 Julai ini dilanjutkan lima tahun lagi.

Sebelum ini kuat kuasa peruntukan akta yang digubal pada 2012 itu telah dilanjutkan pada 2017.

Hamzah ketika membentangkan usul tersebut berkata, lanjutan kuat kuasa untuk tempoh lima tahun lagi itu perlu disertakan dengan lanjutan tempoh tahanan melebihi 28 hari.-MalaysiaGazette