Home Utama Banjir akhir tahun sukar diramal

Banjir akhir tahun sukar diramal

Mangsa, Muhamad Satar Shaari, 66, meredah banjir sambil membawa keluar barang-barang berharga dari rumahnya yang dinaiki air ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette mengenai banjir di Tanah Merah, Kedah. foto IQBAL BASRI, 27 SEPTEMBER 2017
KUALA LUMPUR – Ramalan awal kemungkinan banjir akhir tahun ini didapati sukar dilakukan susulan pola taburan hujan sudah berubah, kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Ir Dr Hamim Samuri.

Beliau berkata taburan hujan semasa tidak tetap dan sukar dijangka.

“Kita susah nak ramal sama ada berlaku banjir atau tidak, walaupun negara kita bebas daripada El Nino dan La Nina tahun ini, namun taburan hujan semasa sukar dijangka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan ‘Geomatics and Geospatial Technology 2017’ anjuran Bahagian Geomatik dan Ukur Tanah (GLS), Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia (RISM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.

Walaupun keadaan sedemikian, semua pihak perlu bersiap siaga menghadapi ancaman banjir dan musim tengkujuh yang sering berlaku setiap hujung tahun, katanya.

Persidangan dua hari bermula hari ini merupakan landasan kepada golongan profesional termasuk penyelidik, pakar sains dan pembangunan perisian untuk membincangkan isu dan pendekatan ke arah penyelesaian berkaitan data dan maklumat geospatial.

— BERNAMA