GEORGE TOWN – Parti Gerakan akan mengadakan perbincangan dalam kalangan parti komponen Perikatan Nasional (PN) untuk pembahagian kerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong berkata, rundingan itu akan dibuat susulan ia merupakan gabungan baharu dalam PN.
“Dulu ketika kita dalam BN, kita sudah tahu kerusi tetap yang akan ditandingi namun kini kita akan lakukan rundingan terlebih dahulu bersama PN untuk pembahagian kerusi.
“Mesyuarat pembahagian kerusi itu akan dilakukan sebagai persiapan parti mendepani PRU-15,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meraikan Sambutan Ulang Tahun Gerakan yang ke-54 di Pejabat Gerakan Pulau Pinang di sini, hari ini.
Tong Keong yang Pengerusi Gerakan Pulau Pinang berkata, seramai 23 jurucakap parti dilantik di beberapa kawasan membabitkan negeri Pulau Pinang sejak Februari tahun lalu sebagai persediaan menjelang PRU-15.
Kata beliau, pihaknya berharap penduduk negeri ini memberi mandat kepada Gerakan untuk menjadi pemimpin negeri agar kebajikan rakyat terus dibela.
“Buat masa ini, kita belum tentukan berapa kerusi Parti Gerakan akan bertanding di Pulau Pinang namun kita akan berusaha menjaga kebajikan rakyat sejajar dengan asas penubuhan parti ini sejak 1968.
“Suka saya ingatkan bahawa sepanjang 39 tahun Gerakan memerintah negeri ini tiada ketua menteri didakwa di mahkamah membabitkan isu rasuah dan ia berbeza bagi DAP yang baru memerintah 14 tahun namun bekas ketua menteri kini masih menjalani perbicaraan kes rasuah di mahkamah.
“Perkara ini semua harus dipandang serius oleh rakyat negeri ini kerana kita tidak nampak pembangunan atau projek besar dilaksanakan DAP dalam memastikan kestabilan ekonomi negeri mahupun kesejahteraan penduduk,” tegas Tong Keong. – MalaysiaGazette