KUALA LUMPUR- Kebiasaannya peraturan biasa yang perlu dipatuhi oleh setiap pekerja adalah tidak menyentuh dana persaraan mereka, tidak kira apa juga yang berlaku.
Namun begitu, bukan semua orang memiliki kemampuan kewangan untuk bertahan dengan kejutan ekonomi yang diakibatkan oleh peristiwa besar seperti pandemik COVID-19 dan langkah sekatan pergerakan untuk membendungnya.
Bagaimanapun, impak ekonomi telah mula berkurangan pada suku keempat 2021 apabila kadar pengangguran susut kepada 4.3 peratus pada suku tersebut – paras terendah sejak pandemik itu melanda negara – apabila permintaan terhadap tenaga kerja meningkat kembali di tengah-tengah pemulihan ekonomi.
Ringgit juga turut terkena tempias dan terjejas teruk akibat daripada pandemik tersebut.
Ini bermakna taraf hidup rakyat Malaysia akan menurun disebabkan kuasa beli yang rendah.
Pengeluaran Keempat KWSP
Bagi sesetengah orang, pelan persaraan kekal menjadi satu impian. Kita tidak boleh melabur pada masa depan sekiranya keadaan kewangan kita pada masa sekarang kurang baik.
Sebagai contoh, ketika ini, 48 peratus daripada 6.1 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah usia 55 mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 dalam dana persaraan mereka.
Dalam usaha terbaharu untuk membantu mereka yang memerlukan, kerajaan telah membenarkan sekali lagi pengeluaran KWSP sebanyak RM10,000. Adakah ini langkah yang wajar?
Sebelum pengeluaran terbaharu ini, kerajaan telahpun membenarkan penyimpan KWSP untuk mengeluarkan sehingga RM71,000 daripada dana persaraan mereka menerusi tiga program pengeluaran KWSP, yang secara kolektifnya berjumlah RM101 bilion.
Seperti yang diketengahkan oleh KWSP, ini menyebabkan sejumlah 6.1 juta ahli kini memiliki simpanan kurang daripada RM10,000 dalam dana persaraan mereka. Dana persaraan itu menekankan bahawa setakat Oktober 2021, seramai 3.6 juta pencarum memiliki kurang daripada RM1,000 dalam akaun mereka.
Dalam kumpulan ini, dua juta ahli Bumiputera memiliki simpanan kurang daripada RM1,000.
CGS-CIMB Research berkata, walaupun pengeluaran RM10,000 kali ini akan memberikan kesan jangka pendek yang positif, ia juga berpotensi memburukkan lagi krisis persaraan yang sekarang ini diibaratkan seperti ‘bom jangka’ dan tiga pengeluaran sebelum ini telah menyebabkan usaha mencapai matlamat simpanan asas terencat ke belakang selama lebih dari 10 tahun.
Sejak pandemik bermula, simpanan median bagi ahli berusia 54 tahun merosot kepada RM37,000 setakat Disember 2021 berbanding RM41,000 sebelum COVID-19, jauh daripada simpanan asas yang disyorkan oleh KWSP iaitu sebanyak RM240,000 jika seseorang itu mahu menghabiskan purata RM1,000 sebulan untuk selama 20 tahun selepas bersara.
“Malah, keperluan penjimatan asas adalah berdasarkan garis pendapatan isi rumah terendah iaitu RM930 setiap bulan, yang merupakan anggaran yang agak sederhana,” kata firma pembrokeran itu dalam satu nota penyelidikan.
Hanya 27 peratus daripada ahli aktif KWSP mampu memenuhi keperluan penjimatan asas berbanding 36 peratus sebelum pandemik.
Justeru, dalam persekitaran pemulihan ekonomi ketika ini, pengeluaran KWSP sepatutnya digunakan dalam situasi kecemasan dan hanya sebagai pilihan terakhir.
Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) percaya bahawa keputusan untuk membenarkan pengeluaran KWSP tidak didasarkan pada logik ekonomi yang kukuh tetapi sebagai tindak balas yang menurut kepada agenda politik.
Badan pemikir itu menjelaskan langkah jangka pendek berkenaan akan memberikan kesan buruk jangka panjang serta menggesa para pemimpin politik untuk mempertimbangkan kesan negatif seperti dasar yang diperlukan bagi pesara dan generasi akan datang.
Impak kepada KWSP
Baru-baru ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, KWSP perlu melupuskan beberapa pelaburannya di luar negara termasuk menangguhkan pelaburan domestik dalam jangka pendek dan sederhana jika satu lagi pengeluaran RM10,000 dibenarkan.
Profesor Madya Ekonomi Fakulti Perniagaan Universiti Kuala Lumpur (UNIKL), Aimi Zulhazmi Abdul Rashid menyamakan penjualan aset portfolio luar negara KWSP sebagai “memusnahkan sumber pendapatan penting” kerana KWSP telah mengumumkan bahawa 37 peratus daripada pendapatan pelaburannya pada 2021 datang dari luar negara kerana hasil dalam pasaran domestik kurang menggalakkan.
“Oleh itu, jika KWSP terpaksa menjual lebih banyak portfolionya di luar negara, ini akan menjejaskan sumbangannya kepada pendapatan KWSP dalam jangka panjang. Ekonomi global dan iklim kewangan pula masih belum pulih sepenuhnya daripada pandemik COVID-19,” katanya kepada Bernama.
Aimi juga menjelaskan Konflik Rusia-Ukraine turut menyebabkan harga komoditi seperti minyak mentah melonjak sehingga mencetuskan inflasi yang tinggi, yang mana kadar inflasi Ameika Syarikat sebanyak 7.9 peratus pada Februari 2022 adalah yang tertinggi dalam empat dekad.
“Jadi, dengan tekanan inflasi yang agak tinggi, mana-mana pengurus dana seperti KWSP perlu bekerja keras, yang bukan sahaja perlu melabur secara strategik untuk mendapatkan pulangan yang baik tetapi juga melindungi simpanan pencarum,” katanya.
Kelangsungan untuk meneruskan kehidupan
Menaikkan gaji minimum, memastikan terdapat pekerjaan yang mencukupi di pasaran, dan menangani kenaikan harga barang keperluan akan menjadi kaedah yang lebih baik bagi melindungi tenaga kerja.
Pada masa ini, kerajaan baru sahaja mengumumkan dasar gaji minimum RM1,500 yang sangat dinanti-nantikan yang akan dilaksanakan pada 1 Mei.
Aimi berkata, jaringan keselamatan sosial yang baharu diperlukan memandangkan Malaysia semakin pantas menjadi negara yang semakin menua, walaupun mengikut piawaian global, menurut unjuran Bank Dunia.
“Statistik telahpun suram walaupun sebelum kelulusan pengeluaran sekali sebanyak RM10,000 diberikan; sebanyak 6.7 juta pencarum mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun KWSP masing-masing.
“Selain itu, fakta yang sangat menakutkan telah didedahkan bahawa daripada 6.7 juta itu, kira-kira 60 peratus hampir tidak mempunyai apa-apa wang dalam akaun mereka.” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa kelulusan terkini pengeluaran RM10,000 sekali sahaja akan mengurangkan lagi tabungan KWSP dan memberi kesan kepada portfolio pelaburan dana persaraan.
“Ini memerlukan tindakan yang seimbang, tetapi situasi yang membimbangkan ialah krisis besar dalam persaraan pada beberapa tahun akan datang,” katanya sambil menambah bahawa realitinya adalah lebih sukar kerana peningkatan kos sara hidup di Malaysia lebih cepat daripada pertumbuhan pendapatan.
“Sudah tentu, hampir mustahil untuk bergantung kepada baki minimum selepas pengeluaran KWSP, dan pada perspektif saya, kebanyakan rakyat Malaysia tidak lagi boleh bergantung kepada KWSP untuk persaraan mereka,” katanya’
Masyarakat menua
Menurut data Bank Dunia, Malaysia telah pun menjadi masyarakat yang semakin menua pada tahun 2020, dengan kira-kira 7.0 peratus daripada populasi berumur 65 tahun ke atas.
Berdasarkan unjuran terkini, Malaysia akan menjadi “masyarakat menua” menjelang 2044 dengan lebih 14 peratus penduduknya berumur 65 tahun ke atas.
Pengarah Ekonomi dan Perniagaan IDEAS Juita Mohamad menegaskan bahawa adalah penting populasi pesara Malaysia yang semakin bertambah mempunyai “sandaran” yang mencukupi apabila mereka bersara.
“Dengan ekonomi yang semakin pulih dan pasaran pekerjaan semakin kukuh tanpa sekatan, IDEAS percaya bahawa pengeluaran KWSP harus digunakan sebagai pilihan terakhir dan dalam situasi kecemasan sahaja,” katanya sambil menambah terdapat pelbagai dana sedia ada yang boleh digunakan di peringkat Persekutuan dan juga negeri, seperti dana zakat dan Tabung Bantuan Bencana Negara. – MalaysiaGazette