PETALING JAYA – Ahli-ahli Parlimen pembangkang hanya mahu dilihat sebagai juara membela rakyat apabila menolak usul kerajaan untuk meluluskan pindaan Akta Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar tidak menafikan ia menunjukkan pembangkang gagal membezakan di antara undang-undang biasa dengan undang-undang pencegahan apabila menolak pindaan Akta terbabit, semalam.
“Sepatutnya dia punya persefahamannya apa yang dibawa (kerajaan) patut sokong, saya pun tidak tahu bagaimana perbincangan dibuat.
“Selama ini nampak okay saja, kita kena ingat SOSMA ini ialah undang-undang pencegahan.
“Semalam saya tengok, bila berbahas, nampaknya pembangkang tak boleh beza antara undang-undang biasa dengan undang-undang pencegahan.
“Nampaknya pembangkang masih dilihat dia jaguh membela rakyat,” katanya pada sidang media di Sime Darby Plantation, di sini, hari ini.
Semalam, kerajaan gagal meminda usul di Dewan Rakyat untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA apabila tidak mempunyai jumlah undi mencukupi apabila undi belah bahagi dijalankan.
Ia setelah undi belah bahagi diluluskan Timbalan Yang di-Pertuan Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor apabila Nga Kor Ming (Ahli Parlimen Teluk Intan-PH) memohon untuk undian belah bahagi dibuat.
Keputusan undi belah bahagi bagi usul yang dikemukakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin itu hanya dipersetujui sebanyak 84 undi, 86 undi pula tidak bersetuju, manalaka 50 ahli Parlimen tidak hadir.
Noh juga melahirkan kebimbangan sekiranya pindaan itu tidak diluluskan, kerajaan sukar untuk mencegah usaha pihak tertentu yang cuba menjejaskan ketenteram awam di negara ini.
“Bimbang kalau kita tiada undang-undang macam ini, sekarang kita tengok kadang-kala sentimen seperti menghasut, menimbulkan kemarahan rakyat antara kaum, agama.
“Sekarang ini heboh pasal Sarawak, ada usaha nak keluarkan Sarawak daripada Semenanjung Malaysia.
“Kalau tidak dijaga dengan baik, tiada satu undang-undang pencegahan ini, kita bimbang macam-macam akan berlaku.
“Kita lihat macam berlaku dulu kita diserang oleh askar dari Sulu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette