PETALING JAYA – Kegagalan kerajaan untuk meminda usul di Dewan Rakyat berkaitan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) membuktikan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri tidak stabil.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, meskipun kerajaan sudah memeterai perjanjian persefahaman dengan pembangkang sebelum ini, jika keadaan itu berterusan maka tidak wajar kerjasama itu diteruskan.
Beliau berkata, sekiranya usul kerajaan terus gagal diluluskan di Dewan Rakyat, sudah sampai masanya Kabinet menasihatkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk membubarkan Parlimen.
“Kalau dilihat kerajaan ini macam tak stabil, akhirnya kuasa untuk membubarkan Parlimen dalam Perlembagaan sangat jelas bahawa Kabinet cadang kepada Agong.
“Itu hak Agong (terima nasihat atau tidak) sebab dalam Perlembagaan, Agong boleh untuk tidak membubarkan Parlimen, itu jelas,” katanya pada sidang media di Sime Darby Plantation Berhad, di sini, hari ini.
Semalam, kerajaan gagal meminda usul di Dewan Rakyat untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA apabila tidak mempunyai jumlah undi mencukupi apabila undi belah bahagi dijalankan.
Ia setelah undi belah bahagi diluluskan Timbalan Yang di-Pertuan Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor apabila Nga Kor Ming (Ahli Parlimen Teluk Intan-PH) memohon untuk undian belah bahagi dibuat.
Keputusan undi belah bahagi bagi usul yang dikemukakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin itu hanya dipersetujui sebanyak 84 undi, 86 undi pula tidak bersetuju, manalaka 50 ahli Parlimen tidak hadir.
Dalam pada itu, Noh juga mahu lihat perkembangan sama di Dewan Rakyat hari ini yang akan menjalankan pengundian bagi membuat pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, jika pembangkang terus enggan menyokong untuk meluluskan usul kerajaan itu yang memerlukan sokongan dua pertiga, tiada maknanya lagi untuk meneruskan kerjasama dengan ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) selepas ini.
“Kita nak tengok macam kerjasama dengan pembangkang. Kalau dua pertiga majoriti bermakna kena dapat 148 undi, kerajaan ada 114 sahaja.
“Kalau tak dapat 148 undi pindaan Perlembagaan, pada saya memang tiada makna kerajaan, ertinya memang tidak stabil dan mungkin boleh dicadang untuk bubar Parlimen.
“Pada saya tiada makna kita nak bersama dengan pembangkang yang ada MoU.
“Kalau hari ini pun gagal juga, ia masa yang sesuai kalau Kabinet cadang kepada Agong untuk bubar dan terpulang kepada Agong untuk memutuskannya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette