KUALA LUMPUR – Syarikat MyEdusoccer yakin aplikasi PandaiBola yang sedang dibangunkan mampu digunakan bagi mengenal pasti bakat baharu dalam sukan bola sepak.
Ketua Pengarah Eksekutif MyEduSoccer, Muhamad Yazid Yahaya berkata, aplikasi itu dibangunkan berpandukan program fizikal yang telah mereka adakan selama dua tahun.
“Aplikasi ini akan membantu menganalisa perkembangan pemain berdasarkan maklumat yang dikumpulkan.
“Pada masa sama, PandaiBola juga berupaya menjadi platform untuk mengasah bakat para pemain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Strategik PandaiBola di Auditorium Resource Centre, Mranti Technology Park di sini hari ini.
Majlis menandatangani kerjasama strategik telah mengumpulkan lebih dari sebelas rakan kongsi strategik dalam membantu membangunkan aplikasi PandaiBola ini.
Antara rakan kongsi strategik terdiri daripada Mranti yang sebelum ini dikenali sebagai Technology Park Malaysia, Syarikat tinted Sunz Tint, Sekolah Kebangsaan Seri Perling 2, Universiti Sultan Zainal Abidin, Voltra, Opera Klasik serta beberapa individu yang lain.
Aplikasi PandaiBola dibangunkan oleh anak tempatan di mana peringkat awal pembangunan itu berfungsi menerusi pengumpulan data berbentuk video dan gambar yang kemudiannya akan dianalisa oleh kumpulan pakar yang terdiri daripada para jurulatih yang memegang lesen jurulatih AFC B menerusi sistem rubrik oleh The Sekolah Bola.
Aplikasi itu juga bertindak sebagai satu platform yang bukan sahaja mampu melatih para pemain secara lebih sistematik malahan memberi kemudahan ibu bapa untuk mengenal pasti prestasi pemain selain dapat mencungkil bakat pemain di peringkat awal.
Yazid menambah, modul yangdibangunkan memerlukan peserta melakukan tugasan tertentu, yang mana analisa akan dijalankan oleh para pakar kami menggunakan sistem Rubrik.
Sementara itu, MyEdusoccer berjaya mendapat geran daripada Teraju Agenda Bumiputera (Teraju) milik kerajaan bagi membangunkan aplikasi untuk latihan bola sepak.
Syarikat itu kini banyak membuat kolaborasi dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia, Terengganu FC dan lain-lain pasukan selain dipantau oleh TPM yang rakan strategik mereka. – MalaysiaGazette