KUALA LUMPUR – Bagi melahirkan ramai usahawan berskala mikro dalam kalangan masyarakat yang terjejas akibat pandemik Covid-19, Yayasan Bank Rakyat (YBR) menganjurkan Bengkel Keusahawanan dan Motivasi (i Perniagaan) untuk mereka.
Program melibatkan peruntukan RM49,339 itu diadakan dengan kerjasama Pertubuhan Pembangunan Pertiwi, Belia dan Kemanusiaan Malaysia.
Menurut Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datuk Mohd Shahrizal Sahri, program itu bertujuan melahirkan usahawan sedia ada dari golongan B40, M40 dan Orang Kurang Upaya (OKU) bagi mendapatkan pendidikan serta kemahiran dalam mengembangkan dan mengekalkan perniagaan dalam norma baru.
Katanya, memasarkan produk memerlukan bukan sahaja latihan kemahiran, malah khidmat nasihat dan sesi motivasi supaya lebih berdaya saing mental dan fizikal terutama selepas ramai terkesan akibat pandemik Covid-19 sebelum ini.
“Mereka bukan sahaja mendapat kemahiran, malah turut berpeluang meningkatkan pendapatan dalam kadar segera dan akses pengetahuan pasaran bagi produk mereka.
“Bidang keusahawanan dilihat sebagai alternatif terbaik dan pilihan utama bagi rakyat mengurangi bebanan kos sara hidup, di mana diharapkan dapat membuka peluang kepada mereka menjana pulangan dan pendapatan.
“Alhamdulillah, program ini dapat membantu mereka yang memerlukan dan niat murni ini akan dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, dengan kerjaya keusahawanan, bukan sahaja dapat meningkatkan taraf hidup individu dan masyarakat, malah menyumbang peningkatan ekonomi negara.
Katanya, sokongan kepada usahawan perlu terus diberikan dengan cara menggalakkan mereka menimba ilmu pengetahuan dan dilihat sebagai pemangkin semangat, selain membantu mengasah kemahiran.
YBR turut berharap agar masyarakat bijak mencari dan merebut peluang memulakan perniagaan, sekali gus memanfaatkan sumber pendapatan baharu untuk kelangsungan hidup. – MalaysiaGazette