BAYAN LEPAS – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi gambaran masa depan Pulau Pinang akan lebih terjamin sekiranya Barisan Nasional (BN) memimpin negeri itu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, sudah tiba masanya penduduk Pulau Pinang berfikir semula tentang masa depan negeri tersebut.
“Saya nampak di Pulau Pinang ini sudah timbul kesedaran bahawa mereka kena tipu dulu dan banyak perkara yang dijanji tidak ditunaikan.
“Saya yakin prestasi BN lebih baik sama ada menang atau tidak bergantung pada faktor-faktor lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucap tama pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Antarabangsa Pulau Pinang di Spice Convention Centre di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Najib berkata, hubungan rapat dengan Kerajaan Pusat merupakan prinsip penting untuk memajukan negeri itu.
“Bagaimanapun, BN tidak pernah mengetepikan Pulau Pinang sejak zaman pemerintahan dahulu walaupun di bawah pimpinan pembangkang.
“Malah banyak projek besar dilakukan di negeri pada zaman BN dahulu,” ujar beliau. – MalaysiaGazette