Home Ekonomi TH tawar Saudia penerbangan haji

TH tawar Saudia penerbangan haji

Penerimaan tawaran penerbangan haji telah ditandatangani oleh Syed Saleh Syed Abdul Rahman (empat dari kiri) manakala Saudia diwakili oleh Kapten Ibrahim Koshy, (tiga dari kanan) dan disaksikan oleh Ibrahim Al Omar (empat dari kanan).

 

KUALA LUMPUR – Saudia Airlines (Saudia), syarikat penerbangan Arab Saudi telah menandatangani penerimaan tawaran penerbangan haji dengan Lembaga Tabung Haji (TH) untuk menyediakan penerbangan sewa khas haji bagi jemaah haji Malaysia selama tiga tahun.

Syed Saleh berkata, tawaran kepada Saudia untuk menyediakan penerbangan sewa khas haji untuk jemaah haji Malaysia daripada tahun 2022 hingga tahun 2024, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Arab Saudi.

”Penyediaan penerbangan sewa khas Haji ini adalah usaha berterusan TH dan merupakan salah satu persediaan awal TH bagi membawa jemaah Haji Malaysia ke Tanah Suci sekiranya kerajaan Arab Saudi membenarkan jemaah luar negara untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini,” tambah beliau.

Penerimaan tawaran tersebut telah ditandatangani oleh Kapten Ibrahim Koshy, Ketua Pegawai Eksekutif Saudia, manakala TH pula diwakili oleh Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Pengarah Eksekutif Haji.

Majlis menandatangani Penerimaan Tawaran ini telah diadakan di Jeddah Superdome, Arab Saudi dan disaksikan oleh Ibrahim Al Omar, Ketua Pengarah Saudia bersempena dengan Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Haji dan Umrah anjuran Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Kapten Ibrahim berkata, sebanyak 50 peratus jemaah jaji Malaysia akan diterbangkan terus oleh Saudia secara berperingkat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Sepang (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah dan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdulaziz Madinah.

”Saudia akan menggunakan pesawat Boeing B787-9 dengan kapasiti 298 tempat duduk untuk memastikan perkhidmatan terbaik diberikan dan pengalaman haji bermula sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke dalam pesawat” katanya. – MalaysiaGazette