Home Nasional Pegawai polis atasan jangan memperlekehkan anggota bawah – Ramli

Pegawai polis atasan jangan memperlekehkan anggota bawah – Ramli

Datuk Ramli Mohamed Yoosuf ketika menyampaikan ucapan sempena Sambutan Hari Polis ke 215 peringkat Kontinjen Pahang hari ini

KUANTAN – Semua pegawai dan anggota polis dinasihatkan mengamalkan lapan budaya dan sikap positif dalam amalan kerja.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, amalan proaktif, memikirkan matlamat dan meletakkan keutamaan dalam skop pekerjaan polis merupakan  tabiat orang berjaya yang perlu dipraktikkan.

“Sebagai polis, jangan bersikap sinis kepada masyarakat dan sentiasa berusaha membantu masyarakat serta perlu jauhi dadah dan aktiviti rasuah.

“Langkah proaktif dan tindakan serta persiapan awal perlu diamalkan dalam melaksanakan tugasan, selain berfikir tentang matlamat apa yang kita mulakan perlukan pengakhiran.

“Kita juga perlu meletakkan keutamaan dalam melakukan pekerjaan serta bekerja dalam pasukan,” katanya ketika berucap sempena sambutan Hari Polis ke 215 peringkat Kontinjen Pahang.

Tambah Ramli, setiap anggota polis perlu menghayati budaya menang-menang yang mana pegawai atasan tidak boleh memperlekehkan pegawai bawahan sebaliknya sentiasa mendengar idea baharu daripada mereka.

“Sebagai pemimpin pasukan perlu ada komunikasi dua hala yang mana perlu mendengar dan memahami  sesuatu sebelum memberi pendapat kepada pasukan.

“Budaya ketujuh ialah sinergi yang perlu dijadikan amalan serta sebagai polis mesti  sentiasa perbarui iltizam dan komitmen untuk perbaiki kelemahan masing-masing,” katanya.

Dalam perutusan tersebut, Ramli turut menyampaikan sijil penghargaan kepada pasukan polis, orang awam dan kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sentiasa memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis.

Sambutan tersebut turut diserikan dengan kawalan kehormatan oleh penyertaan seramai 54 anggota polis wanita. – MalaysiaGazette