KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor menerusi pasukan peguamnya menafikan pernah menerima dan memiliki kalung berlian merah jambu bernilai AS$23 juta yang dihasilkan tukang emas, Lorraine Schwartz.
Menurut kenyataan peguam bela itu, pihaknya telah diarahkan pelanggannya yang mengulangi pendirian bahawa dia dan suami beliau, Datuk Seri Najib Razak hanya mengetahui putera Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mansour Zayed, mahu menghadiahkan kalung berlian merah jambu kepada Rosmah.
“Pelanggan kami dan/atau suaminya dalam sebarang masa tidak pernah meminta, memohon dan/atau cuba untuk membeli kalung berlian merah jambu itu.
“Sama juga, nilai kalung itu tidak pernah diketahui pelanggan kami dan atau suaminya,” katanya dalam kenyataan bersama Datuk Geethan Ram Vincent, Rajivan Nambiar dan Reza Rahim, hari ini.
Semalam juri dalam perbicaraan Goldman Sachs di New York, ditunjukkan resit tanpa bahan bukti lain seperti gambar kepada juri sebagai bahan bukti.
Schwartz yang sebelum ini pernah mereka barang kemas untuk selebriti seperti Beyonce, Adele dan Blake Lively tidak dipanggil sebagai saksi, sebaliknya hanya memberi kenyataan yang telah dimasukkan pendakwa raya sebagai rekod rasmi mahkamah.
Ketika urus niaga itu, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low didakwa menghubungi Schwartz pada Jun 2013 dan meminta wanita tersebut mereka kalung berlian merah jambu dengan permata berbentuk hati khas untuk Rosmah.
Schwartz mendakwa, Rosmah telah meminta berlian 18 karat, namun dia hanya mempunyai berlian merah jambu 22 karat dan urusniaga akhirnya dicapai untuk pembelian batu permata bersaiz lebih besar.
Kata pasukan peguam itu, adalah wajar untuk diperhatikan bahawa Rosmah tidak pernah menerima kalung berlian merah jambu dan ini adalah bukti walaupun beberapa serbuan yang dilakukan oleh pihak berkuasa, kalung tersebut tidak pernah ditemui berada dalam pemilikan Rosmah.
Menurut peguam bela itu, pelanggannya juga tidak mempunyai pengetahuan tentang invois yang dikemukan dan ditunjukkan kepada juri dalam perbicaraan yang membabitkan Roger Ng.
“Dalam sebarang keadaan, pelanggan kami menetapkan bahawa penghasilan invois itu tidak membawa sebarang bentuk bukti muktamad yang menyatakan pelanggan kami membeli kalung berlian merah jambu itu,” ujar mereka
Tambah kenyataan itu, Rosmah menyatakan bahawa mensensasikan isu itu merupakan cubaan politik untuk memfitnah beliau dan suaminya. – MalaysiaGazette