KUALA LUMPUR – Menyedari ada dalam kalangan warga emas yang tidak dapat hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kerana masalah logistik, ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) menyediakan perkhidmatan vaksinasi terus ke rumah melalui program Home Vaccination.
Perkhidmatan Home Vaccination adalah inisiatif kerajaan untuk memperluas dan mempercepatkan vaksinasi dos penggalak sebelum keistimewaan sijil vaksinasi penuh ditarik semula daripada penerima vaksin yang tidak mendapat dos penggalak selewat-lewatnya pada 31 Mac 2022 dan untuk melindungi warga emas kerana mereka adalah golongan yang berisiko.
Terutama pada bulan Ramadan, kebanyakan warga emas dijangka berhimpun di masjid untuk menunaikan solat Tarawih dan menghadiri majlis sama ada di dalam atau di luar rumah.
Dengan situasi ini yang dijangka berlaku dalam tempoh yang berpanjangan dan biasanya mereka berada dalam jarak yang dekat, berkemungkinan penularan virus Covid-19 lebih tinggi.
Orang awam yang mempunyai tanggungan warga emas di rumah yang masih belum mendapatkan suntikan vaksin boleh menghubungi talian hotline 1700-811-007 setiap hari mulai 28 Mac 2022 (9 pagi hingga 5 petang).
Sebagai alternatif, orang ramai boleh menghantar teks melalui applikasi WhatsApp di talian +6012-6787911 dan mereka akan menerima maklum balas dalam masa 1 hingga 3 hari.
Pendaftaran juga boleh dibuat melalui laman web ProtectHealth iaitu https://vaksincovid.protecthealth.com.my/register_vaccinee
Selain itu menerusi aplikasi MySejahtera helpdesk:
• Pergi ke Helpdesk
• Klik pilihan A – Temu Janji Vaksinasi Penggalak
• Klik pilihan C – Saya/tanggungan (dependent) saya terlantar dan memerlukan vaksin di rumah
Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Datuk Dr. Anas Alam Faizli menasihatkan semua warga emas supaya mendapatkan dos penggalak mereka dengan segera bagi memastikan peralihan kepada fasa endemik bermula 1 April ini dapat dilaksanakan dengan selamat dan sebelum status sijil mereka pada aplikasi MySejahtera bertukar menjadi tidak lengkap.
Bagi mereka yang masih belum menerima dos penggalak sebelum 1 April, warna sijil vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera akan bertukar kepada warna Putih.
Dengan program Home Vaccination, kami ingin memberikan kemudahan dan pengalaman yang lancar dan selesa untuk warga emas yang tidak dapat hadir ke PPV.
”Walaupun gelombang Omicron dilihat tidak agresif seperti golombang Delta, tetapi bagi warga emas khususnya yang mempunyai komorbiditi, ia bukanlah penyakit ringan kerana ia boleh membawa maut.
”Oleh itu, kami menyeru orang ramai untuk memastikan ibu bapa anda dilindungi daripada virus Covid-19.
Sehingga 24 Mac 2022, sebanyak 15.5 juta dos penggalak telah diberikan dan 12 juta dos atau 77.4% disumbangkan oleh Pengamal Perubatan Swasta (PMP) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Penjagaan Kesihatan di bawah ProtectHealth. – MalaysiaGazette