Home SISWA Air mata ibu gugur terima diploma arwah anak

Air mata ibu gugur terima diploma arwah anak

Ibu kepada Allahyarhamah Nazihah Mohd Fadzail tidak dapat menahan sebak semasa menerima Anugerah Anumerta buat anaknya yang terkorban dalam nahas kemalangan jalan raya pada Majlis Konvokesyen Ke-14 Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur di Dewan Matrade, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 26 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Ibu kepada Allahyarhamah Nazihah Mohd Fadzail tidak dapat menahan sebak semasa menerima Anugerah Anumerta buat anaknya dalam Majlis Konvokesyen Ke-14 Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur di Dewan Matrade, di sini, hari ini.

Ibu kepada penuntut Diploma Pengurusan Industri Halal itu hanya mampu mengalirkan air mata di atas pentas sambil ditenangkan ahli keluarga yang mengiringinya.

Allahyarhamah dilaporkan terkorban apabila terlibat dalam nahas kemalangan jalan raya di Pulau Indah, Kuala Lumpur pada 2 September 2021 semasa dalam perjalanan menuju ke tempat kerjanya.

Menurut pihak pentadbiran kolej, Nazihah sangat meminati bidang industri halal apabila mula menonton banyak rancangan masakan.

Minatnya itu mendorong Nazihah sentiasa teliti dengan status halal dan kualiti sesuatu produk sehingga berjaya mendapat tawaran pekerjaan di sebuah syarikat industri makanan.

Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar yang merasmikan majlis konvokesyen itu melahirkan rasa dukacita di atas pemergian Nazihah dengan menyifatkan ibunya sebagai pejuang yang melahirkan graduan berwibawa.

Para graduan yang hadir pada Majlis Konvokesyen Ke-14 Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur di Dewan Matrade, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 26 MAC 2022.

Hari ini, seramai 694 graduan berjaya menamatkan pengajian dalam pelbagai bidang masing-masing dengan menerima Diploma dan Sijil. – MalaysiaGazette