Home Nasional KPDNHEP terima lebih 24,000 aduan transaksi dalam talian – PM

KPDNHEP terima lebih 24,000 aduan transaksi dalam talian – PM

Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima 24,150 aduan berkaitan transaksi dalam talian sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan pada Mac 2020.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah itu merangkumi 36.5 peratus berbanding jumlah aduan yang diterima kementerian itu sehingga 28 Februari 2022.

“Sejumlah besar aduan ini memberi indikasi bahawa melalui perubahan trend pembelian pengguna secara dalam talian.

“Sebilangan besar pengguna menyedari dan memahami akan hak mereka dengan menyalurkan aduan kepada kementerian apabila berlakunya salah laku peniaga dalam talian,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2022 di NU Sentral, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexender Nantha Longgi dan Timbalannya, Datuk Rosol Wahid.

Tambahnya, bagi memperkasakan digitalisasi pengguna, KPDNHEP telah membangunkan satu aplikasi telefon pintar bertujuan untuk mempelbagaikan platform penyaluran aduan Pengguna.

“Ia berperanan untuk memantapkan inisiatif perlindungan pengguna.

“Aplikasi ini dinamakan ezAdu, mula dibangunkan pada 2005 dan tahun lalu.

“Ia ditransformasi dan ditambah baik bagi meningkatkan tahap keberkesanan saluran aduan KPDNHEP,” katanya lagi. – MalaysiaGazette