KUALA LUMPUR – Pelakon dan pelawak, Amran Tompel, meninggal dunia akibat kanser usus di kediaman beliau di Senawang, Negeri Sembilan pada usia 72 tahun.
Beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 4.37 petang tadi di samping anaknya.
Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Hafiz Nafiah berkata, menyifatkan beliau seorang yang berbakat besar dan seorang pelawak dan pelakon yang tiada tandinginya.
“Dukacita dimaklumkan bahawa seorang lagi permata seni hiburan tanah air Amran Bin Aman Ramli @ Amran Tompel telah kembali kerahmatullah pada jam 4.37 petang tadi di kediaman beliau di Senawang Negeri Sembilan.
“Jenazah beliau kini berada dirumahnya di Senawang Negeri Sembilan dan telahpun dibawa ke Hospital untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Amran dilahirkan pada 27 Oktober 1950 di Singapura meninggalkan empat orang anak hasil.
Pada 1987 Amran Tompel tampil dengan filem pertama lakonan beliau iaitu filem Keluarga 69 dengan memegang watak Joe seterusnya membintangi beberapa buah drama atau filem di Malaysia antaranya Buai Laju-laju, Tak Ori Tapi Ok, Salah Bapak, Bilut, Baik Giler, Lu, Gua, Bro, Gerak Khas dan banyak lagi.
Hafiz berkata, pihaknya akan memaklumkan kepada semua rakan-rakan media mengenai masa dan tempat arwah akan dikebumikan sebaik sahaja keluarga arwah menetapkan segala prosesnya.
“Seluruh Kepimpinan Tertinggi dan Barisan Exco Seniman Malaysia mengucapkan Takziah buat ahli keluarga dan semoga tabah hadapi ujian ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette