Home Nasional Warga emas disamun di hadapan rumah anak di Bandar Tun Razak

Warga emas disamun di hadapan rumah anak di Bandar Tun Razak

Muhammad Idzam Jaafar

KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga emas berputih mata apabila disamun di hadapan rumah anaknya di Bandar Tun Razak di sini, kira-kira 9 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Muhammad Idzam Jaafar berkata, warga emas berusia 77 tahun itu disamun dua lelaki warga tempatan bersenjatakan parang dan menaiki motosikal jenis Yamaha Y15 berwarna biru hitam.

Beliau berkata, kejadian samun yang sempat dirakam orang awam dan tular dalam media sosial itu menunjukkan suspek menarik dua utas rantai leher dan memotong dua utas gelang tangan mangsa dengan menggunakan gunting pemotong sebelum melarikan diri menaiki motosikal bernombor pendaftaran palsu.

“Mangsa mengalami kecederaan luka di tangan dan jumlah kerugian dianggarkan RM25,000. Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhammad Idzam berkata, polis sedang mengesan dua suspek terbabit dan memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras menerusi talian 013-2165881, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584 / 585 atau mana-mana balai polis berdekatan. – Bernama