Home Seni Hidup DJ Lin terima Anugerah Penyampai Radio Berpengaruh

DJ Lin terima Anugerah Penyampai Radio Berpengaruh

Anugerah Penyampai Radio Berpengaruh itu merupakan anugerah ke-10 buat DJ Lin.

KUALA LUMPUR – Penyampai radio Suria FM, Roslinda Abd Majid atau popular dengan gelaran DJ Lin dipilih sebagai penerima anugerah kecemerlangan bagi kategori Influential Radio Announcer di Majlis Women of Excellence Awards 2021/22 (WOEA2021/22) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dikenali menerusi segmen kegemaran ramai, Suria Cinta, DJ Lin yang juga merupakan Pengurus Besar Suria FM teruja dengan anugerah yang diterima dan bersyukur di atas pengiktirafan orang luar terhadap jenama DJ Lin.

“Anugerah dan pencapaian ini sememangnya tidak ternilai harganya dan tanpa sokongan peminat DJ Lin dan Suria Cinta, tiadalah DJ Lin di sini.

“Pengiktirafan ini secara tidak langsung menyuntik semangat DJ Lin untuk melakukan yang lebih baik kepada pendengar setia yang mempercayai jenama DJ Lin dan Suria FM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, kredibiliti dan populariti DJ Lin selama 23 tahun di dalam industri radio di Malaysia diiktiraf menerusi beberapa anugerah besar yang dimenanginya.

Antaranya Anugerah Sri Angkasa (kategori Penyampai Radio Terbaik) sebanyak tiga kali, Anugerah Penyampai Radio Paling Popular Berita Harian (ABPBH) sebanyak empat kali.

Anak kelahiran Johor Bahru itu juga mendapat Anugerah Kesatria Puteri (Industri Radio) Himpunan Wanita Muda Negara 2012 dan Anugerah Penyampai Radio Paling Dipercayai Reader’s Digest Trusted Brands ke-23.

Anugerah Penyampai Radio Berpengaruh itu merupakan anugerah ke-10 buat DJ Lin yang mengendalikan Suria Cinta setiap Ahad hingga Jumaat pukul 8 malam hingga 1 pagi di frekuensi Suria FM atau menerusi aplikasi terbaharu Suria Malaysia.

Sementara itu, WOEA2021/22)ini dianjurkan oleh majalah The CEO Malaysia yang bertujuan untuk merai dan memberi pengiktirafan serta menghargai sumbangan para usahawan wanita terhadap industri, penggunaan teknologi dan pendekatan inovatif dalam menjalankan perniagaan secara mampan sekaligus telah banyak membantu untuk merancakkan pembangunan ekonomi negara. – MalaysiaGazette