LAS VEGAS – Teman wanita Stephen Paddock tidak tahu apa-apa tentang rancangan serangan oleh lelaki yang disifatkan sebagai seorang yang baik, penyayang dan pendiam.
Marilou Danley tiba di Amerika Syarikat Selasa lalu, dua hari selepas Paddock menembak mati 58 orang dan mencederakan lebih 500 mangsa
Dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh peguamnya, Danley berkata, Paddock tidak pernah berkata apa-apa atau mengambil sebarang tindakan yang difahami sebagai satu amaran sebelum berlaku kejadian itu.
“Saya cintakannya dan berharap dapat bersama beliau,” kata Danley yang turut melahirkan rasa terkejut dengan kejadian ganas yang cukup dahsyat.
Amerika Syarikat telah menamakan Danley sebagai ‘individu yang berkepentingan’ dalam siasatan mereka dan menghubunginya sejurus serangan tersebut.
Danley kemudian terbang ke Los Angeles dari Filipina untuk bertemu dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI).
Wanita itu berkata, dua minggu lalu Paddock telah memberi kejutan kepadanya dengan ‘tiket murah’ bagi membolehkan beliau menziarahi keluarganya di Filipina.
Semasa di Filipina, Paddock telah memberinya AS$100,000 untuk membeli rumah.
“Saya bersyukur tetapi jujurnya saya bimbang ia adalah satu cara baginya untuk berpisah dengan saya.
“Ia tidak pernah terlintas pada saya dalam apa cara sekalipun Paddock merancang melakukan keganasan terhadap sesiapa sahaja,” kata Danley.
Saudara perempuan Paddock memberitahu media 7News bahawa Cik Danley “telah diusir … supaya dia tidak berada di sana untuk mengganggu apa yang dia (Paddock) rancang”.
Paddock telah mendaftar masuk ke suite di tingkat ke-32 Mandalay Bay Hotel pada 28 September, dilaporkan menggunakan beberapa dokumen identiti Danley.
Pada kira-kira jam 22.08 pada 1 Oktober, Paddock melancarkan pusingan pertama tembakan arah orang ramai yang menghadiri festival muzik.
Sepanjang sembilan hingga 11 minit yang seterusnya, Paddock telah membunuh 58 orang dan mencederakan lebih daripada 500 orang lain, sebelum beliau membunuh diri. – MalaysiaGazette