KUALA LUMPUR – Dewan Negara hari ini diberitahu, perubahan iklim merupakan cabaran utama dihadapi sektor agro makanan menjelang 10 tahun akan datang.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee memberitahu, kementeriannya mengambil beberapa langkah untuk menangani masalah itu bagi memastikan sekuriti makanan negara terjamin.
Kata beliau, fenomena perubahan iklim itu akan meningkatkan risiko dan kejadian bencana seperti banjir, kemarau berpanjangan dan peningkatan suhu pola hujan yang berubah serta kenaikan air laut.
Katanya, ia secara tidak langsung mempengaruhi ketersediaan air, sekali gus memberi kesan kepada pendapatan petani di negara ini.
“Dalam usaha menangani cabaran perubahan iklim, MAFI telah membangunkan dasar baharu negara melalui Dasar Agro Makanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025.
“Antara lain, kita sedang mempergiatkan aktiviti pertanian mampan yang mesra alam dan berdaya tahan terhadap iklim,” katanya dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Parlimen, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Datuk Nelson Renganathan yang meminta MAFI menyatakan rancangan kementerian untuk menangani kesan perubahan iklim terhadap sektor pertanian.
Menurut Dr. Ronald, bagi meminimumkan impak perubahan iklim terhadap sektor agro makanan, ia melalui tiga ciri utama iaitu kemampanan, berdaya tahan dan berpacukan kemajuan teknologi.
“Secara khusus, kata beliau, MAFI telah dan sedang mengambil beberapa strategi bagi menangani kesan perubahan iklim.
“Antaranya, menggalakkan penggunaan kaedah teknologi berasaskan iklim dan automasi, termasuk pendekatan pertanian pintar iklim yang menitikberatkan kaedah pertanian secara mampan.
“Di samping itu, kita turut menitik beratkan aspek pengurangan pelepasan gas rumah hijau,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga mengambil langkah memperkukuhkan data sekuriti makanan untuk menilai dan memantau tahap sekuriti makanan termasuk kesan perubahan iklim terhadap sektor agro makanan.
MAFI turut mempergiatkan penyelidikan pembangunan pengkomersialan dan inovasi dalam amalan pertanian alternatif.
Ini katanya, termasuk menjalankan penyelidikan berhubung keberkesanan dan kecekapan penyampaian teknologi sedia ada dan inovasi kaedah baru melalui pendekatan Pertanian Pintar Iklim (CSA) bagi meminimumkan impak iklim terhadap tanaman buah-buahan seperti nanas, betik, nangka, durian serta sayur-sayuran.
“Kesan perubahan iklim semakin dirasai kebelakangan ini apabila sepanjang tempoh lima tahun dari 2017 hingga 2021 sebanyak 40,828 hektar tanaman padi musnah akibat banjir di seluruh negara.
“Bagi tanaman agro makanan seperti buah-buahan dan tanaman kontan yang terkesan adalah seluas 1,944.57 hektar, manakala 9,336 hektar tanaman padi mengalami kerosakan akibat kemarau,” katanya. – MalaysiaGazette