KUALA LUMPUR – Menteri dan Timbalan Menteri perlu mengambil langkah berhati-hati ketika menjawab soalan Anggota Dewan Negara (ADN), bagi memastikan mereka tidak ditegur oleh Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim.
Teguran dibuat ke atas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim apabila menyebut perkataan ‘Job Karnival’ dan ‘holistik’ yang disifatkan oleh Dr. Rais sebagai bahasa Inggeris dan tidak digalakkan digunakan dalam dewan.
Ketika menjawab soalan tambahan Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian, Timbalan Menteri itu menyatakan: “Perancangan terus berjalan dengan kempen turun ke padang, dengan izin, bahasa yang sering digunakan iaitu Job Karnival,”.
Dr. Rais kemudian mencelah: “Job Karnival… Pesta Kerja,”.
“Ya, Pesta Kerja… saya dengan pegawai-pagawai saya lama dah fikir bahasa sesuai dengan Job Karninal ni, nak letak ayat apa yang sama makna dengan Job Karnival ni. Rupanya, kita dapat dah hari ni (jawapan betul dalam Bahasa Malaysia).
“Ingat pegawai, Pesta Kerja bagi ganti nama Job Karnival,” katanya dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Parlimen, hari ini.
Untuk meneruskan jawapan seterusnya, Awang ketika meneliti kertas atau teks jawapan, menurut dengan berhati-hati setiap perkataan agar tidak ditegur, sehingga pada ayat ‘holistik’ apabila beliau menukarnya secara spontan iaitu ‘keseluruhan’.
Beliau bimbang ditegur kali kedua oleh Speaker Dewan Negara itu yang menitikberatkan penggunaan Bahasa Malaysia dalam setiap tutur mahupun jawapan sama ada daripada Menteri, Timbalan Menteri mahupun ADN.
Jawapannya mengundang ketawa ADN, yang pada masa sama teguran Dr. Rais itu sebenarnya turut memberi tempias kepada mereka agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan bahasa Inggeris dalam sesi persidangan. – MalaysiaGazette