Home Seni Hidup Masih ada masyarakat yang tak prihatin kemudahan OKU

Masih ada masyarakat yang tak prihatin kemudahan OKU

Bapa, Isma Nizam Norahmad bersama anak istimewanya, Ahmadd Bahaqi Isma Nizam meluahkan rasa tidak puas hati terhadap individu yang kurang peka dengan fasiliti tapak parkir yang disediakan untuk golongan OKU di Ioi City Mall, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 28 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Jangan jadi manusia tidak berhati perut!

Itu ungkapan yang sesuai dilabelkan kepada individu yang sering menyalahgunakan kemudahan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) terutamanya tempat letak kenderaan.

Bagi Isma Nizam Norahmad, 34, yang mempunyai anak istimewa kecewa dengan sikap individu yang kurang peka atau tidak mengendahkah kemudahan yang disediakan untuk OKU.

Malah apa yang lebih dikesali apabila beliau mahu membawa anak bongsunya, Ahmad Bahaqi, 5, menjalani terapi di taman rekreasi Klang, dia pernah ditegur oleh seorang peniaga supaya mengalihkan kenderaan semata-mata peniaga itu mahu menggunakan parkir untuk memunggah barangannya.

“Ketika itu, saya ingin membawa Ahmad jalani terapi menggunakan alat bantu jalan atau reverse walker. Banyak kali saya pusing hinggalah jumpa satu parkir OKU yang kosong tetapi saya geram sangat sebab ia (parkir) telah diletakkan dengan kerusi plastik oleh peniaga.

“Waktu itu memang saya berdepan kesukaran untuk meletakkan kenderaan sebab hampir semua parkir OKU penuh. Kemudian saya alihkan kerusi dan masukkan kereta. Tiba-tiba ada seorang lelaki datang tegur.

“Saya terkilan sebab dia minta saya alihkan kereta dengan alasan sebab dia nak masukkan van untuk berniaga. Saya beritahu dia, saya bawa anak OKU dan ada pelekat OKU, ditambah ini memang parking OKU. Apa masalah saya untuk letak kereta di petak itu

“Kenapa saya perlu alih? Ketika itu, saya baru sahaja selesai siapkan Ahmad Bahaqi dengan alat bantu jalan dia dengan keadaan kita yang berpeluh ini. Kemudian peniaga itu minta maaf dan terus pergi,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette baru-baru ini.

Bapa kepada dua orang anak itu menambah, isu berkenaan sering kali berlaku pada mereka yang mempunyai ahli keluarga istimewa sekali gus membuatkan mereka lali dengan sikap manusia yang tidak bertanggungjawab itu.

Bapa, Isma Nizam Norahmad bersama anak istimewanya, Ahmadd Bahaqi Isma Nizam meluahkan rasa tidak puas hati terhadap individu yang kurang peka dengan fasiliti tapak parkir yang disediakan untuk golongan OKU di Ioi City Mall, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 28 MAC 2022.

“Tidak kira perasaan saya atau ibu bapa anak OKU yang lain sebenarnya sudah penat ingin hadap benda seperti ini. Kami pun macam sudah malas ingin bergaduh tetapi kes yang pertama kali berlaku pada saya itu memang buat saya geram dan terkilan.

“Sebelum ini, kes macam ini saya hanya dengar daripada kawan-kawan yang mempunyai anak OKU tetapi bila jadi pada saya sendiri memang terkesan sangat dengan sikap manusia yang buta hati ini tanpa memikirkan keadaan kita yang ada anak OKU ini,” ujarnya.

Isma Nizam yang bekerja sebagai perunding takaful berkata, Ahmad Bahaqi menghidap Cerebral Palsy Diplegia Spastic iaitu mempunyai masalah dari bahagian pinggang hingga ke bawah sejak lahir lagi disebabkan kecederaan dalam otak ketika dalam kandungan.

Ia merupakan satu cabaran untuk menjaga anak istimewa ini sehingga menyebabkan beliau terpaksa bertukar kerjaya dari seorang penjawat awam namun ini bukanlah satu halangan buat dia dan isterinya.

“Setiap ibu bapa yang mempunyai anak istimewa ini merupakan satu cabaran. Saya dan isteri akan menjadi pengurus dia untuk semua aktiviti termasuklah dari penjagaan diri, pendidikan dan membuat fisioterapi. Alhamdulilah sudah menjadi rutin dan tiada masalah.

“Sewaktu Ahmad Bahaqi lahir, dia tidak cukup bulan iaitu 29 minggu. Masa itu doktor ada beritahu, kami kondisi dia hanya 50-50 iaitu sama ada dia boleh teruskan hidup atau sebaliknya dan satu lagi mungkin dia akan ‘bedridden’ iaitu berada atas katil atau berkerusi roda.

“Kalau masuk ICU sudah jadi perkara biasa, lebih 10 kali masuk hospital disebabkan masalah pernafasan, jangkitan paru-paru dan dia juga diagnosis buah pinggang bengkak tetapi alhamdulilah makin besar, ia semakin kecut.

“Selain daripada itu, ada beberapa komplikasi seperti di mata dia, macam lari sedikit dan kalau kita lihat motor skill seperti tangan dia masih keras lagi untuk genggam. Sudut intelektual Ahmad Bahaqi untuk pembelajaran juga Alhamdulilah tiada masalah,” katanya.

Bapa, Isma Nizam Norahmad bersama anak istimewanya, Ahmadd Bahaqi Isma Nizam meluahkan rasa tidak puas hati terhadap individu yang kurang peka dengan fasiliti tapak parkir yang disediakan untuk golongan OKU di Ioi City Mall, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 28 MAC 2022.

Sejak November tahun lalu, Ahmad Bahaqi mula menunjukkan perkembangan positif apabila kanak-kanak itu  mula berjalan menggunakan reverse walker, malah dia petah bercakap serta bernyanyi setelah berjaya menjalani rawatan fisiopterapi di Hospital Rehabilitasi Cheras.

Bagaimanapun, latihan terapi secara sendiri oleh keluarga amat diperlukan untuk memperkuatkan lagi kakinya berjalan seperti kanak-kanak normal lain dan situasi ini membuatkan Isma Nizam perlu membawa anaknya ke taman rekreasi.

Sehubungan itu, Isma Nizam meminta agar pihak berwajib dapat menggubal semula undang-undang berkaitan penyalahgunaan parkir OKU supaya golongan ini tidak terus ditindas oleh mereka yang mementingkan diri sendiri.

Selain itu, pihak berkuasa juga perlu bertindak dengan lebih tegas dalam penguatkuasaan, ujarnya. – MalaysiaGazette