KUALA LUMPUR – Dengan hanya berbaki dua hari lagi untuk konsert komposer muzik India tersohor, Ilayaraaja sambutannya amat menggalakkan.
Tiket persembahan Raaja-The One Man Live in Concert 2017 di ibu negara kini sudah 90 peratus dijual.
Ketua Pegawai Eksekutif My Events International, Shahul Hameed Shaikh Dawood berkata, konsert itu kini dijadualkan berlangsung 7 malam di Stadium Axiata, Bukit Jalil di sini.
“Kita mendapat sambutan luar biasa untuk tiket konsert julung kali dan yang terbesar di Asia ini.
“Tiket untuk tiga daripada lima zon tempat duduk sudah habis dijual sepenuhnya (90 peratus), masih berbaki dua zon lagi dan saya jangkakan tiket selebihnya akan habis cepat memandangkan ramai memilih mendapatkan tiket pada saat-saat akhir,” ujarnya dalam sidang media semalam.
Menurut Shahul Hameed, sejak dilancarkan jualan pada penghujung Ogos lalu, penjualan tiket dalam talian www.myticket.asia ia memudahkan peminat membelinya selain kaunter di Stadium Axiata.
Beliau berkata, promosi besar-besaran dan aura positif Ilayaraaja ke Malaysia kali ini mencetuskan harapan tinggi dalam kalangan peminatnya menyaksikan persembahan berkenaan.
Beliau yakin konsert bersejarah sebagai terbesar di Asia kali ini akan berjaya dengan sokongan padu dan kerjasama para penaja bersama dan utama.
Dalam pada itu,beliau menasihati orang ramai yang akan membanjiri Stadium Axiata supaya menggunakan pengangkutan awam dan datang awal bagi mengelak kesesakan.
Dalam pada itu Ilayaraaja pula gembira dapat menghiburkan peminatnya di negara ini buat pertama kali.
Beliau juga menyifatkan Malaysia sebuah negara yang unik dan kaya dengan pelbagai budaya dan bangsa.
“Sebagai mengakhiri penantian peminat saya sejak berdekad lalu, suspen menanti peminat saya di Malaysia tentang lagu-lagu dari era 70an sehingga sekarang yang akan didandangkan di atas pentas nanti selama lima jam.
“Untuk itu kumpulan orkestra bersama artis popular dari India seramai lebih 80 orang sedang menjalani latihan persiapan terakhir untuk memastikan persembahannya 100 peratus menyerupai trek asal filem,” katanya.
Konsert Raaja disokong sepenuhnya oleh Malaysia Major Events sebuah anak syarikat di bawah pelancongan Malaysia selain menyokong inisiatif Pelancongan negara yang menyasarkan 36 juta pelancong dari rantau Asia dengan pendapatan RM168 bilion menjelang 2020.- MalaysiaGazette