KUALA LUMPUR – Sebutan kes bagi penyampai radio terkenal, Isma Halil yang didakwa terlibat dengan pengedaran dadah ditetapkan pada 8 April ini.
Mahkamah Tinggi di sini membuat ketetapan itu setelah mendapati beberapa dokumen berkaitan belum diserahkan kepada pihak pembelaan.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hussin menetapkan tarikh itu bagi serahan dokumen serta sebutan kes.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad memohon mahkamah menetapkan satu tarikh baharu untuk serahan dokumen selain cadangan pembelaan apakah jenis dokumen diperlukan oleh pihaknya.
Pada 21 Februari lalu, Isma mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengedar dadah selepas pengakuan direkodkan buat kali pertama.
Tertuduh didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, di sini, pada jam 5.35 petang 27 Ogos tahun lalu mengikut Seksyen 39B (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukan hukuman mati.
Pada 27 Januari lalu, Mahkamah Majistret di sini membenarkan kes Isma dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Ia diputuskan selepas peguam Adi Zulkarnain Zulkafli memaklumkan laporan kimia telah diperoleh yang mana berat dadah itu dikurangkan dari 409 gram kepada 374.6 gram.
Kes dadah itu dipindah dan dibicarakan ke Mahkamah Tinggi berikutan hukuman bagi pertuduhan tersebut memperuntukkan hukuman gantung sampai mati. – MalaysiaGazette